Aktiviti rekreasi yang santai dan mesra alam yang anda boleh masukkan di dalam senarai aktiviti sepanjang anda berada di Taman Negara ini adalah aktiviti memerhati burung-burung liar. Taman Negara Kuala Tahan yang cukup terkenal dengan keunikannya sebagai hutan hujan tropika yang sudah berusia lebih dari 130 juta tahun ini, menjadi ‘kediaman’ kepada kira-kira 380 spesies burung liar yang terdapat di Malaysia dan setiap dari mereka adalah unik dari segi warna bulu, saiz dan susuk tubuh yang bervariasi.
Selepas Bukit Fraser, Taman Negara Kuala Tahan ini adalah ‘Syurga’ kedua pemerhati burung liar yang diwujudkan sebagai salah satu usaha untuk mengembangkan lagi industri eko pelancongan di negeri Pahang. Dalam situasi penerokaan hutan yang sedang rakus di Malaysia kini dimana ia banyak menjejaskan ekosistem flora dan fauna, Taman Negara mengambil inisiatif untuk menjadikan flora dan fauna sebagai produk utama dalam industri eko pelancongan ini.
Terdapat 479 spesies burung telah dikenal pasti hidup di Taman Negara ini termasuklah tujuh daripadanya adalah spesies burung yang datang dari luar negara antaranya Bangau Kendi, (Cattle Egrets) Berek-berek Tadah Hujan (Blue-throated Bee-eater) dan juga Lang Baza (Black Baza). Burung-burung yang berasal dari negara beriklim sejuk ini dikatakan dalam perjalanan ke Selatan dan singgah di sini ketika bulan September hingga Disember sebelum pulang semula ke negara asal untuk bertelur.
Bulan Mei sehingga Ogos dikatakan sebagai waktu terbaik untuk anda datang dan memerhati burung di sini dan anda dapat menemukan spesies burung yang tertentu di kawasan-kawasan yang tertentu. Selain itu, pencinta burung juga pasti akan teruja untuk melihat 19 spesies burung terancam yang hidup di sekitar Taman Negara ini.
Dikatakan bahawa burung-burung liar ini agak sensitif dengan kehadiran manusia terutamanya bunyi bising dari langkah tapak kaki dan suara manusia. Akhir sekali, pasti anda akan terngiang-ngiang dan rindukan siulan burung liar yang sangat mendamaikan jiwa dan menyegarkan semangat sepanjang anda berada disini.