Harga seekor ikan kelah di pasaran kini boleh mencecah sehingga RM200 hingga RM300 sekilo dan kira-kira RM1,000 seekor. Raja si air tawar ini adalah ikan yang sangat licik dan tangkas hinggakan ia sangat sukar ditawan oleh para pemancing. Selain itu, isi dagingnya yang mempunyai tekstur halus, rasanya yang lazat dan sisiknya yang boleh dimakan menjadikan ikan kelah sebagai buruan bagi pencinta sukan memancing ikan air tawar.
Di Malaysia, spesies ikan kelah merah banyak terdapat di Pahang, Terengganu dan Kelantan iaitu spesies Tor tamroides. Tempat biasa ikan kelah belindung, diami dan berlegar adalah kawasan yang mempunyai dasar berbatu dan berkayu di sepanjang kawasan hilir sungai. Terdapat juga spesies yang memilih untuk mendiami kawasan yang lebih luas dan dalam.
Apabila tiba musim untuk ikan kelah mengawan, mereka akan berenang melawan arus sungai untuk bermigrasi menuju ke hulu sungai. Di sini terdapat kawasan yang mempunyai sungai-sungai kecil yang akan djadikan sebagai tempat ikan kelah melepaskan telur-telurnya.
Keistimewaan fizikal ikan kelah ini adalah bentuk badannya yang tirus memberikan lebih kemampuan untuk berenang melawan arus dan meredah jeram. Saiz ikan kelah betina yang matang adalah lebih besar dari kelah jantan. Makanan mereka adalah alga, ikan-ikan kecil, katak, serangga, buah-buahan dan bunga-bungaan yang gugur dari pepohon yang hidup di tepi sungai.
Di Taman Negara, ikan kelah adalah spesies yang dilindungi di Santuari Kelah bermakna pengunjung tidak dibenarkan memancing atau menangkap ikan ini. Di sini pengunjung dapat memberi makan, bermesra dengan ikan kelah ini. Makanan yang dibenarkan untuk diberi kepada ikan kelah ini hanyalah palet khas yang boleh dibeli di kedai yang terdapat disitu. Ini kerana makanan tersebut dibuat khas untuk memelihara kualiti ikan kelah disini.
Pada Mei 2018, Taman Negara Pahang telah membuat pengisytiharan bahawa aktiviti memancing telah dibenarkan bersama syarat-syarat dan peraturan iaitu hanya di lokasi Sungai Tahan.