Gua Kota Gelanggi
Dikatakan sebagai sebuah kompleks gua batu kapur yang usianya beratus juta tahun. Gua Kota Gelanggi, yang penuh dengan kisah-kisah mitos dan lagenda ini sangat berbaloi untuk berada di dalam senarai lokasi yang anda hajatkan untuk teroka di Taman Negara.
Sambil anda teroka menikmati kecantikan suasana di dalam gua yang tersergam indah dengan struktur batu kapur yang terbentuk di lantai dan siling gua, anda boleh mendengar kisah lagenda dan kisah mitos yang banyak dikaitkan dengan Gua Gelanggi ini yang bertemakan kisah dua orang kerabat diraja iaitu Raja Mambang dan Raja Gelanggi yang bergaduh sesama sendiri berebut untuk berkahwin dengan seorang puteri.
Akhirnya, datang Sang Kelembai menghukum kedua-duanya atas pergaduhan tersebut lalu seluruh kerajaan hilang dari radar kerana semuanya telah disumpah menjadi batu. Menarik bukan?
Untuk ke sini, anda sangat digalakkan untuk mengambil pemandu pelancong bagi mengelakkan kejadian tersesat di dalam hutan dan di dalam gua. Keunikan eksplorasi di dalam gua ini adalah terdapat banyak gua yang saling berhubung antara satu sama lain. Dikatakan terdapat 100 gua yang berada disitu tetapi hanya 12 sahaja darinya yang dibolehkan untuk dilawati.
Gua Gelanggi yang turut dikaitkan dengan kisah Mat Kilau ini mempunyai pintu masuk yang akan membawa anda bertemu dengan Gua Tongkat dimana ia membentuk pintu gerbang yang megah di jalan utama. Apabila anda jalan terus lagi ke hadapan anda akan berjumpa dengan Gua Terang Bulan di mana bentuknya seperti sebuah terowong dan ia diselubungi kegelapan. Kerana ini, anda dinasihatkan untuk membawa lampu suluh dan berhati-hati apabila melalui gua ini kerana permukaan lantai yang agak licin.
Cabaran kembara gua di Gua Kota Gelanggi ini bermula dari Gua Kepala Gajah – Gua Angin – Gua Gajah – Gua Sanding yang boleh habiskan dalam masa 2 jam atau kurang bergantung kepada keadaan cuaca ketika itu.
Menurut pengembara yang pernah ke sini, waktu terbaik untuk datang ke sini adalah pada waktu tengahari dimana pemandangan di dalam gua adalah sangat menakjubkan kerana sinaran mentari menembus masuk ke dalam gua membentuk suasana yang sangat indah.
Sepanjang lawatan anda ke gua-gua ini, akan melibatkan aktiviti memanjat, merangkak atau menyelit di celah-celah ruang yang agak sempit. Jangan risau jika anda seorang yang berbadan agak besar kerana dengan sedikit kemahiran, anda tetap boleh meloloskan diri.