Artical, Cave Stay, National Park ( Taman Negara Kuala Tahan )

3 Aktiviti Mencabar di Taman Negara

Hampir setiap hari kita berhadapan dengan keletihan dan kepenatan dari kehidupan yang sibuk di bandar. Apa kata sekali-sekala anda bawa keluarga atau rakan-rakan bercuti ke Taman Negara Pahang. Di sini, ia bagaikan spa alam semulajadi dimana energi anda disegarkan dengan terapi fizikal, emosi dan mental.

Taman Negara menyediakan pelbagai aktiviti mencabar yang menyeronokkan beserta kemudahan untuk para pengunjung yang ingin mendekati alam.

1. Melalui Titian Kanopi, Jambatan Terpanjang di Dunia

Panjangnya perjalanannya sejauh 550 meter. Manakala tingginya dari lantai hutan adalah 45 meter iaitu kira-kira setinggi bangunan 15 tingkat. Perjalanan untuk ke Titian Kanopi ini mengambil masa sekitar 30 hingga 40 minit dari Ibu Pejabat Taman Negara.

Sehari hanya 600 pengunjung sahaja dibenarkan untuk melalui titian kanopi ini atas faktor keselamatan. Setiap pengunjung yang melalui titian kanopi ini perlu mempunyai jarak 10 meter di antara satu sama lain. Anda berpeluang melihat monyet bergayutan di waktu pagi, Sungai Tembeling dan pemandangan hutan dari sudut yang lebih tinggi.

2. Mendaki Gunung Tertinggi Di Semenanjung Malaysia

Cabar diri anda untuk merentas hutan, meredah sungai, dan naik turun bukit selama berhari-hari demi mendaki dan menawan puncak Gunung Tahan iaitu gunung tertinggi di Semenanjung Malaysia ini. Terdapat dua laluan untuk anda akses perjalanan ke Gunung Tahan ini iaitu sama ada dari Merapoh atau Kuala Tahan.

Pastikan anda telah membuat persediaan secara fizikal dan mental bagi mengoptimumkan lagi aktiviti pendakian anda nanti. Pelbagai spesises flora dan fauna yang jarang dilihat menanti anda. Di akhir pendakian anda nanti juga akan dihidangkan keindahan Banjaran Tahan yang mempesonakan.

3. Bermalam di Gua

Apakah perasaan anda jika dapat bermalam di gua sambil ditemani penghuninya iaitu kelawar? Taman Negara mempunyai banyak gua-gua batu kapur yang sangat cantik dan masih terpelihara untuk para pengunjung menyaksikannya. Malah, para pengunjung berpeluang bermalam dan menikmati suasana malam di sini.

Selain Gua Daun Menari dan Gua Kepayang Kecil, lokasi yang biasa dijadikan tapak perkhemahan adalah Gua Kepayang Besar. Ruang yang sebesar namanya boleh memuatkan kira-kira 200 orang pengunjung. Jarak dari Kuala Terenggan ke Gua Kepayang Besar dan Gua Kepayang Kecil ini adalah 4 jam perjalanan atau kira-kira 7.5km.

What they said

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *