Mendekati Alam Semulajadi Dengan Berkhemah di Taman Negara

Apabila anda memilih untuk bercuti untuk meneroka Taman Negara, masukkan aktiviti berkhemah di sini untuk mencipta pengalaman baru bersama keluarga dan rakan-rakan. Kebanyakan dari kita, apabila ditanya “bilakah kali terakhir anda melakukan aktiviti berkhemah?”, jawapannya adalah semasa di sekolah.

Inilah peluang untuk anda merasa pengalaman berkhemah di tengah-tengah hutan yang telah berusia berjuta tahun, bersebelahan dengan sungai, diselubungi suasana hutan, didendangkan dengan nyanyian cengkerik dan pelbagai lagi.

Terdapat empat lokasi yang dijadikan sebagai tapak perkhemahan bagi para pengunjung.

Dua lokasi yang sesuai bagi mereka yang masih baru dalam dunia perkhemahan atau masih nak mencuba-cuba adalah tapak perkhemahan di Mutiara Taman Negara dan juga tapak perkhemahan Dakili yang mempunyai kemudahan tandas dan bilik mandi yang baik. Tapak perkhemahan ini berdekatan dengan banyak restoran serta kawasannya diterangi cahaya lampu yang terang. Lokasi ini juga berada berhampiran dengan sungai. Anda hanya perlu membayar RM5 sahaja seorang untuk bermalam disini.

Lokasi ketiga tapak perkhemahan adalah di tapak perkhemahan Dan’z Travel yang berada bertentangan dengan jeti Titian Kanopi di mana anda dapat membina unggun api, memancing di sungai yang berpasir serta disini suasananya kurang bunyi bising.

Lokasi ketiga adalah di AsiaCamp Resort. Disini, disediakan tapak khemah lereng bukit di tepi sungai yang selamat dari ditenggelami air apabila air naik. Bukan sahaja pelanggan dapat menikmati ketenangan air sungai, bahkan kedudukan tapak perkhemahan hanya bersebelahan dengan hutan taman negara menaikan sentimen yang unik kerana kawasan ini tidak ada pelancong yang beraktiviti disini. Ini membolehkan suasana yang bersifat ekslusif dirasai oleh pengunjung. Di samping itu, AsiaCamp Resort juga menyediakan dewan berhawa dingin dan kemudahan seminar bagi mana-mana institusi yang ingin menjalankan aktiviti berkhemah di dalam jumlah peserta yang ramai. Pelbagai aktiviti boleh dilakukan disini termasuklah kem unit beruniform, kem motivasi dan kem team building.

Akhir sekali, anda boleh memilih untuk berkhemah di Lubuk Tenor dimana ia lebih mencabar dan sesuai bagi pengunjung yang berpengalaman dalam perihal berkhemah. Lokasi ini berada sejauh 3 jam atau 30 minit perjalanan menaiki bot dari ibu pejabat. Disini, anda akan dapat menikmati pemandangan sungai yang menakjubkan, berenang bersama ikan kelah serta pengalaman berkhemah tanpa disediakan tandas dan tiada kedai makan.

Selain itu, terdapat juga lokasi perkhemahan yang lain seperti di sepanjang Sungai Tembeling dan juga di Gua Kepayang Besar.

Apabila berkhemah, terdapat beberapa perkara yang perlu diambil perhatian terutama apabila berada disini. Etika perkhemahan mestilah dijaga untuk membolehkan flora dan fauna terus terpelihara. Etika perkhemahan adalah :

a. Tetapkan waktu berhibur :

Apabila berada di kawasan perkhemahan, mestilah memastikan aktiviti kita tidak menggangu peserta perkhemahan yang lain. Seelok-eloknya tentukan masa berhibur dan santai dilakukan sebelum pukul 10.00am.

b. Pengurusan sampah mestilah dilaksanakan dengan baik :

urus penggunaan bahan supaya sampah yang akan terhasil sepanjang aktiviti di dalam kadar minimum. Sampah yang banyak akan menyebabkan peserta sukar untuk menguruskannya. Oleh itu, setiap sampah yang dibawa masuk mestilah dibawa keluar.

c. Tidak memetik daun atau mematahkan dahan tanpa sebab kecemasan :

Kadar pertumbuhan pokok sangatlah pelahan, Seandainya pokok dipatahkan ranting dan dahannya, ia mengambil masa yang lama untuk tumbuh semula.

d. Tidak menconteng batu dan menoreh dahan :

Kawasan taman negara telah menjadi tumpuan pelancong seluruh dunia. Oleh itu, kita sebagai rakyat Malaysia mestilah menunjukkan contoh yang baik kepada dunia yang kita mampu menjadi destinasi pelancongan yang ideal dan dicontohi orang luar.

Kegiatan perkhemahan pula adalah kegiatan yang begitu menyeronokkan, apatah lagi ianya akan menjadi pengalaman yang begitu istimewa buat yang melakukannya bersama sahabat atau rakan-rakan. Walaubagaimanapun, faktor keselamatan mestilah dijadikan keutamaan bagi memastikan perkhemahan berjalan dengan keadaan yang baik. langkah keselamatan yang harus diambil adalah :

a. Tentukan khemah dikunci dengan baik :

Pencahayaan di kawasan perkhemahan biasanya adalah dalam kadar yang minimal untuk membolehkan kita melihat suasana hutan dengan jarak yang jauh. pencahayaan yang begitu terang akan menyebabkan panorama hutan disekeliling tidak dapat dilihat dengan baik. Kita mestilah memastikan khemah dikunci untuk mengelakkan kemasukan serangga dan haiwan kecil berbisa. Haiwan jenis ini sukar untuk masuk kerana kehadiran bau manusia, walaubagaimanapun langkah-langkah pencegahan mestilah dibuat. Ianya seperti dirumah, kita perlu mengunci rumah sepanjang masa, begitu juga halnya dengan perkhemahan

b. Makanan manis atau makanan ringan :

Makanan ini yang telah dibuka mestilah dihabiskan atau diikat dengan begitu kemas. Apabila semut masuk kedalam khemah sewaktu malam telah larut, ini menyukarkan kita untuk meneruskan aktiviti kerana perlu menumpukan kerja-kerja pembersihan.

c. Kasut bertutup mestilah ditebalikan dan disimpan bawah khemah :

Bayangkanlah apabila kasut yang dibiarkan bersepah ditumpang oleh katak, mestilah kecoh satu tapak perkhemahan kita. Alangkan didepan rumah kampung pun katak akan menumpang, inikan pula di kawasan hutan. Kasut mestilah juga disimpan dibawah khemah untuk mengelakkan dari kebasahan dan meningkatkan kekemasan di dalam berkhemah.

d. Paralatan tajam disimpan disebelah kiri hadapan khemah :

Tentukan peralatan ini ditutup kemas. Jadikan ini standard kepada semua jenis perkhemahan kita. Apabila kita tidur atau berehat, kita sudah tahu dimana kedudukan peralatan ini sekaligus mengelakkan kecedaraan yang tidak diduga

e. Beg mengandungi ubatan peribadi disimpan disebelah kanan hadapan khemah :

Bayangkan apabila rakan kita mengalami asma, ada yang memerlukan ubat dalam kadar segera. Sudahlah kita berkhemah dikawasan hutan, jangan jadikan kawasan dalam khemah kita juga seperti hutan yang tidak disusun. Apabila berlaku kecemasan, ubat ini dapat dicapai dengan kadar yang segera.

f. Jangan berkhemah digigi air :

Pastikan anda membuat senarai barang keperluan yang lengkap dan membuat carian secukupnya tentang tip-tip dan perkara yang penting tentang akviti berkhemah. Ini adalah penting bagi memastikan aktiviti berkhemah anda berakhir dengan pengalaman yang anda mahu alami semula!