Artical, National Park ( Taman Negara Kuala Tahan )

Orang Asli Batek dan Cara Mereka Survive

Orang Asli Batek dan Hutan Tiada Berpisah

Hidup di dalam hutan telah menjadi tradisi turun-temurun kaum Orang Asli Batek kerana bagi mereka, hutan adalah mahligai dan lubuk rezeki buat mereka. Mereka adalah kaum yang terkenal dengan cara hidup yang nomad iaitu berpindah-randah di sekitar kawasan di dalam hutan. Kerana itu, mereka tidak pernah bercucuk tanam kerana tidak mahu tinggal kekal di sebuah tempat sahaja. Sepanjang hidup mereka membesar menjadi pemburu dan pengumpul hasil hutan.

Namun begitu, pada musim tengkujuh iaitu di antara bulan Oktober hingga Disember atau Januari adalah waktu yang bahaya untuk mereka berhijrah. Jalan pengangkutan utama mereka adalah melalui air dan ketika musim ini, paras air sungai yang tinggi dan arusnya yang deras membahayakan nyawa mereka.

Tradisi Menyumpit Masih Kekal

Adalah menjadi tanggungjawab golongan lelaki untuk pergi memburu dan mencari hasil-hasil hutan. Setiap lelaki akan memiliki sumpit masing-masing. Ukiran pada sumpit mereka melambangkan kematangan dan kelayakan bagi seorang anak lelaki Batek yang meningkat dewasa. Malah, ia juga adalah tanda bahawa lelaki itu sudah layak untuk berkahwin.

Sumpit adalah senjata memburu mereka yang diperbuat daripada buluh yang panjangnya 2 meter. Pelurunya pula dipanggil damak dan diperbuat daripada lidi yang hujungnya diletakkan sedikit racun. Racun ini mampu membunuh binatang dalam masa 10 minit.

Tradisi Hidupkan Api Cara Lama

Kita sudah biasa masak menggunakan dapur gas atau dapur elektrik. Tetapi Orang Asli Batek ini masih kekal dengan cara lama untuk memasak makanan mereka. Anda pasti akan kagum dengan kehebatan mereka menghidupkan api sendiri yang diwarisi turun-temurun sejak dari zaman nenek moyang mereka lagi.

Mereka menggeserkan rotan dan daun meranti bersama sehingga api terhasil. Bahan yang digunakan sebagai bahan bakar adalah habuk kayu. Nampak seperti mudah kan? Namun, ia tidaklah semudah yang dilihat hingga anda cubanya sendiri.

Anda boleh rasakan pengalaman sebenar menyumpit dan cabaran menghidupkan api apabila anda datang ke perkampungan Orang Asli Batek ini di Taman Negara.

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *