Artical, National Park ( Taman Negara Kuala Tahan )

Gajah, Kulitnya Kasar Tetapi Sensitif

Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah di Pahang menyediakan ruang dan peluang untuk orang ramai mengenali gajah dengan lebih dekat. Pusat ini menyelamatkan gajah yang cedera, memelihara dan memulihara spesies gajah yang semakin menyusut saban tahun.

Jumlah gajah di Semenanjung Malaysia kini berada di sekitar 1,000 hingga 1,100 ekor sahaja. Bilangan yang semakin terancam ini adalah disebabkan oleh aktiviti perburuan untuk meraih keuntungan besar dalam pasaran gelap dunia. Gajah di seluruh dunia diburu dan dibunuh bagi mendapatkan gading, tulang, dan dagingnya. Gadingnya sering digunakan untuk membuat barang kemas wanita, alat muzik, cap dan sebagainya.

Inisiatif Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah ini dibuka sejak tahun 1989 adalah bagi melindungi dan memulihara gajah-gajah ini. Selain itu, pusat ini berterusan berusaha untuk mendidik dan menyebarkan kesedaran kepada masyarakat akan kepentingan peranan setiap individu dalam melindungi spesies gajah ini dari pupus.

Dengan itu, mereka membuka peluang kepada orang awam tidak kira sama ada rakyat Malaysia atau dari luar negara, untuk mendekati gajah-gajah ini dengan lebih dekat. Di sini pengunjung dapat memerhati tabiat gajah, bermesra dengan mereka, memberi makan dan belajar menyayangi mereka.

Di sini kami kongsikan beberapa fakta menarik tentang kulit gajah.

Kulit Kasar Tetapi Sensitif

Kebanyakkan bahagian badan gajah diselaputi kulit setebal 2.50cm berbanding kulit manusia yang hanya setebal 0.17cm.

•  Tetapi bahagian dalam telinga gajah, sekitar mulut, dan duburnya mempunyai kulit hanya setebal sehelai kertas! Kulit senipis ini penting bagi membolehkan gajah mengawal atur suhu badan mereka. Darah panas akan dialirkan ke telinga untuk disejukkan dengan bantuan jaringan pembuluh darah yang luas pada telinga mereka.

•  Ini samalah fungsinya seperti radiator kereta kita.

•  Selain itu, telinga yang dikibaskan akan menghasilkan angin yang nyaman, sama seperti kipas tangan yang kita gunakan.

• Mereka melindungi kulitnya yang sensitif dari sinaran ultraungu dengan berkubang di dalam lumpur dan melulurkannya ke badannya. Jika rutin ini tidak dilakukan dengan tetap, akan mengakibatkan kulit yang lebih sensitif, mudah rosak dan mudah diserang serangga.

• Gajah menjadikan debu yang disemburkan ke badannya sebagai kerak pelindung apabila ia kering.

• Kulit gajah Asia adakalanya menunjukkan depigmentasi di kawasan dahi, telinga dan kawasan kulit di sekitarnya.

• Kemampuan gajah untuk mengeluarkan haba panas daripada kulitnya adalah sedikit sukar kerana nisbah luas permukaan kulit terhadap isipadu tubuhnya yang jauh lebih rendah daripada manusia.

Tahukah Anda?

Gajah Afrika mempunyai telinga yang besarnya tiga kali ganda daripada gajah Asia. Ini kerana mereka memerlukan ‘radiator’ yang lebih besar untuk menyejukkan badan.

Anda ingin merasa tekstur kulit mereka sendiri? Anda ingin melihat keunikan kulit mereka dengan lebih dekat?

Datanglah ke Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah bersama-sama dengan ahli keluarga atau rakan-rakan anda untuk cipta pengalaman baru bersama gajah-gajah kita!

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *