Artical

Gajah, Haiwan Penuh Emosi

HAIWAN PENUH EMOSI | EMOTIONAL CREATURE

Emosi adalah antara elemen paling penting dalam kehidupan setiap makhluk. Melalui emosi, kita dapat merasa pelbagai perasaan, mesej yang ingin disampaikan malah dapat berkongsi perasaaan makhluk yang lain.

Manusia menggunakan tangan untuk menzahirkan berbagai bentuk perasaan tetapi gajah menggunakan belalai untuk tujuan tersebut. Cara utama mereka berkomunikasi antara satu sama lain adalah dengan melihat, menyentuh, menghidu, dan bersuara. Sentuhan adalah medium komunikasi yang sangat penting bagi gajah.

Interaksi Gajah
  • Ibu gajah menyentuh dan mengusap anaknya menggunakan belalai. Ada ketika, ibu gajah memberikan satu tamparan lembut untuk mengajar anaknya.
  • Gajah juga sering melilit belalainya kepada belalai gajah yang lain, sama seperti cara manusia berjabat tangan.
  • Lilitan belalai anak gajah kepada ekor ibunya memberikan gambaran seolah-olah mereka berpimpinan tangan.
  • Apabila ibu dan anak gajah berdampingan, ibunya akan menggunakan belalai atau kaki untuk menyentuh anaknya.
  • Gajah memiliki keupayaan untuk merasa empati terhadap gajah yang lain terutamanya kepada gajah yang sedang sakit dan juga yang sudah mati. Mereka menunjukkan kesedihan dengan cara menurunkan belalai ke bawah, mata kuyu dan telinga yang terkulai.
  • Jika gajah ingin menunjukkan reaksi ancaman, mereka akan mengangkat kepala dan melebarkan telinganya. Jika perlu, gertakan ditambah dengan menggoncangkan kepala, mengibaskan telinga, serta melemparkan debu dan tumbuhan.

Pengalaman indah ini dapat anda saksikan dan alami sendiri di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, di Taman Negara Pahang. Anda berpeluang untuk memahami gajah dari dekat dengan memerhati mereka sendiri berinteraksi sesama mereka. Bukan sahaja itu, anda juga dapat merasa sendiri respon yang diberikan saat anda menyantuni mereka di sini.

Walaupun mereka ini berbadan gagah perkasa, namun jiwa mereka penuh kasih-sayang dan empati. Kemanjaan mereka ini bagaikan seorang bayi. Di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah ini, ada bahagian yang menempatkan gajah dewasa dan juga bahagian yang menempatkan anak-anak gajah.

Sesi memandikan gajah pasti akan mencuit hati anda dan meninggalkan memori yang manis. Anda dapat menyaksikan keriangan dan kenakalan mereka ketika anda memandikan mereka.

Bayaran

Terdapat bayaran bagi sesi ini iaitu RM10.00 bagi pengunjung dewasa dan RM5.00 bagi kanak-kanak. Anda juga berpeluang untuk merakam gambar atau video bersama mereka di sini.

Namun begitu, aktiviti memandikan gajah ini bergantung kepada keadaan cuaca dan paras air sungai ketika itu serta faktor-faktor lain. Tambahan lagi, hanya 100 pengunjung sahaja dibenarkan bagi sesi ini dalam sehari. Oleh itu, amat penting untuk anda membuat tempahan awal sebelum ke sini.

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *