Elephas maximus yang dikenali sebagai Gajah Asia, telah disenaraikan sebagai spesies haiwan terancam bermula pada tahun 1986. Pada tahun 2014, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar memaklumkan bilangan gajah yang masih ada ketika itu adalah sekitar 1,220 ekor sahaja. Kini, hanya tinggal sekitar 1,000 hingga 1,100 ekor sahaja di Semenanjung Malaysia.
Penurunan bilangan ini adalah disebabkan permintaan yang tinggi bagi tujuan makanan, produk perhiasan dan perubatan tradisional. Perdagangan secara haram ini semakin meningkat berikutan dengan permintaan yang sangat tinggi terhadap bahagian anggota badan gajah ini. Bahagian tersebut seperti daging, tulang, tanduk dan lain-lain dalam pasaran gelap dunia. Sebagai contoh, gading mereka diburu untuk digunakan membuat barang kemas wanita, alat cap, alat muzik, dan sebagainya.
Selain itu, fitrah gajah perlu hidup di kawasan yang luas untuk mereka berkeliaran serta mempunyai sumber makanan yang banyak. Hal ini telah terganggu akibat aktiviti manusia seperti pemusnahan hutan-hutan, kebakaran hutan, dan aktiviti pembangunan dan pembinaan. Atas situasi ini, dengan berkurangnya kawasan berkeliaran yang berkurangan bagi gajah-gajah ini telah menimbulkan konflik dengan manusia. Kurangnya kefahaman manusia tentang hidup bersama gajah ini benar-benar mengancam spesies ini.
Sedikit fakta tentang gajah kita iaitu Gajah Asia :-
- Bersaiz lebih kecil berbanding Gajah Afrika
- Lebih kurang 50% Gajah Asia betina mempunyai gading yang pendek
- Mempunyai bentuk telinga yang lebih kecil, bulat di atas dan rata di bawah
- Bahagian telinga berperanan untuk mengawal haba tubuh badan gajah
- Memunyai jangka hayat 65 hingga 75 tahun
- Tempoh bunting adalah sekitar 540 – 660 hari ( lebih kurang 2 tahun )
- Bilangan kelahiran adalah 1 ekor setiap kali kelahiran.
Pemburuan haram yang pantas serta kelahiran gajah yang mengambil masa yang lama, menyumbang cabaran yang hebat bagi pihak perhilitan untuk memulihara spesies gajah ini.
Pelbagai strategi pengiklanan dan program kesedaran telah dikeluarkan setiap tahun, tetapi aktiviti perburuan dan perdagangan hidupan liar secara haram terus-menerus berlangsung tanpa henti walaupun undang-undang dan akta telah diperketatkan.
Inilah masanya peranan kita sebagai masyarakat perlu mengambil peduli dan memahami betapa pentingnya kehadiran gajah dan hidupan liar lain di dalam ekosistem alam sekitar kita. Kita tidak mahu menghancurkan peluang generasi kita untuk mengenali haiwan yang berasal dari zaman dinasour ini. Selagi bilangan gajah ini masih ada, kita masih punya harapan untuk berjuang bersama-sama membantu pihak berwajib dalam apa juga kelebihan dan kemampuan yang kita ada.
Selamatkanlah gajah kesayangan kita. Mereka perlukan kita!