8 Tip Pancing Ikan Kelah

Ikan Kelah bagaikan raja air tawar. Aktiviti memancing di Sungai Tahan, Taman Negara Pahang mula dibenarkan sejak Mei 2018. Setiap minggu, hanya hari Rabu dan Khamis sahaja aktiviti memancing ini dibuka kepada kaki pancing bersama syarat-syarat tertentu. Kawasan yang dibenarkan untuk memancing bermula dari Kuala Tahan sehingga Jeram Bahala, Sungai Tahan.

Antara target utama kaki pancing dalam aktiviti memancing ini adalah untuk mendaratkan raja si air tawar yang lasak, liar dan licik ini. Ikan kelah ini menjadi idaman para pemancing kerana ia umpama suatu kepuasan emas jika sesiapa berjaya menawannya.

Selain dari isinya yang sedap, sisiknya yang boleh dimakan, harganya boleh mencecah RM250 hingga RM300 sekilo. Bermakna, seekor ikan kelah mampu mencecah harga RM1,000 dan ke atas.

Ikan ini juga bijak dalam pengamatannnya terhadap persekitaran sekeliling. Mereka juga sangat sensitif dengan kehadiran manusia. Oleh itu, untuk menawan raja air tawar ini, kami kongsikan beberapa tip asas yang anda boleh praktikkan ketika anda memancing di Sungai Tahan ini.

Tip-tip Pancing Ikan Kelah

1. Jika anda datang dalam jumlah yang ramai, pastikan anda duduk tidak lebih dari 3 orang bagi setiap lubuk yang dipilih.

2. Minimumkan pergerakan dan jika ingin berbual, berbisik lebih memadai.

3. Pastikan persekitaran sangat senyap dari suara-suara manusia.

4. Gunakan umpan yang diperbuat daripada sawit yang dimasak atau yang diperam. Sawit peram ini dihasilkan dengan merendamnya di dalam air selama 2 minggu sehingga ia mengeluarkan bau dan sedikit berminyak. Umpan ini bertujuan untuk menarik ikan kelah ke arah pancing anda.

5. Sawit masak pula digunakan dengan cara menghirisnya dan diletakkan dicangkukkan pada mata kail. Anda juga boleh mencangkukkan sebiji sawit ini dan dicangkukkan pada 2 atau 3 mata kail.

6. Peralatan memancing anda perlulah sesuai untuk menewaskan ikan kelah apabila umpan dimakan. Ini kerana, ikan kelah sangat tangkas melepaskan diri.

7. Elakkan memakai baju berwarna terang.

8. Elakkan berendam kaki atau mandi kerana mereka sensitif dengan kehadiran manusia.

Aktiviti memancing di sini hanya dibuka dari jam 9.00 pagi sehingga 5.00 petang sahaja.

Gajah, Kulitnya Kasar Tetapi Sensitif

Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah di Pahang menyediakan ruang dan peluang untuk orang ramai mengenali gajah dengan lebih dekat. Pusat ini menyelamatkan gajah yang cedera, memelihara dan memulihara spesies gajah yang semakin menyusut saban tahun.

Jumlah gajah di Semenanjung Malaysia kini berada di sekitar 1,000 hingga 1,100 ekor sahaja. Bilangan yang semakin terancam ini adalah disebabkan oleh aktiviti perburuan untuk meraih keuntungan besar dalam pasaran gelap dunia. Gajah di seluruh dunia diburu dan dibunuh bagi mendapatkan gading, tulang, dan dagingnya. Gadingnya sering digunakan untuk membuat barang kemas wanita, alat muzik, cap dan sebagainya.

Inisiatif Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah ini dibuka sejak tahun 1989 adalah bagi melindungi dan memulihara gajah-gajah ini. Selain itu, pusat ini berterusan berusaha untuk mendidik dan menyebarkan kesedaran kepada masyarakat akan kepentingan peranan setiap individu dalam melindungi spesies gajah ini dari pupus.

Dengan itu, mereka membuka peluang kepada orang awam tidak kira sama ada rakyat Malaysia atau dari luar negara, untuk mendekati gajah-gajah ini dengan lebih dekat. Di sini pengunjung dapat memerhati tabiat gajah, bermesra dengan mereka, memberi makan dan belajar menyayangi mereka.

Di sini kami kongsikan beberapa fakta menarik tentang kulit gajah.

Kulit Kasar Tetapi Sensitif

Kebanyakkan bahagian badan gajah diselaputi kulit setebal 2.50cm berbanding kulit manusia yang hanya setebal 0.17cm.

•  Tetapi bahagian dalam telinga gajah, sekitar mulut, dan duburnya mempunyai kulit hanya setebal sehelai kertas! Kulit senipis ini penting bagi membolehkan gajah mengawal atur suhu badan mereka. Darah panas akan dialirkan ke telinga untuk disejukkan dengan bantuan jaringan pembuluh darah yang luas pada telinga mereka.

•  Ini samalah fungsinya seperti radiator kereta kita.

•  Selain itu, telinga yang dikibaskan akan menghasilkan angin yang nyaman, sama seperti kipas tangan yang kita gunakan.

• Mereka melindungi kulitnya yang sensitif dari sinaran ultraungu dengan berkubang di dalam lumpur dan melulurkannya ke badannya. Jika rutin ini tidak dilakukan dengan tetap, akan mengakibatkan kulit yang lebih sensitif, mudah rosak dan mudah diserang serangga.

• Gajah menjadikan debu yang disemburkan ke badannya sebagai kerak pelindung apabila ia kering.

• Kulit gajah Asia adakalanya menunjukkan depigmentasi di kawasan dahi, telinga dan kawasan kulit di sekitarnya.

• Kemampuan gajah untuk mengeluarkan haba panas daripada kulitnya adalah sedikit sukar kerana nisbah luas permukaan kulit terhadap isipadu tubuhnya yang jauh lebih rendah daripada manusia.

Tahukah Anda?

Gajah Afrika mempunyai telinga yang besarnya tiga kali ganda daripada gajah Asia. Ini kerana mereka memerlukan ‘radiator’ yang lebih besar untuk menyejukkan badan.

Anda ingin merasa tekstur kulit mereka sendiri? Anda ingin melihat keunikan kulit mereka dengan lebih dekat?

Datanglah ke Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah bersama-sama dengan ahli keluarga atau rakan-rakan anda untuk cipta pengalaman baru bersama gajah-gajah kita!

Orang Asli Batek dan Cara Mereka Survive

Orang Asli Batek dan Hutan Tiada Berpisah

Hidup di dalam hutan telah menjadi tradisi turun-temurun kaum Orang Asli Batek kerana bagi mereka, hutan adalah mahligai dan lubuk rezeki buat mereka. Mereka adalah kaum yang terkenal dengan cara hidup yang nomad iaitu berpindah-randah di sekitar kawasan di dalam hutan. Kerana itu, mereka tidak pernah bercucuk tanam kerana tidak mahu tinggal kekal di sebuah tempat sahaja. Sepanjang hidup mereka membesar menjadi pemburu dan pengumpul hasil hutan.

Namun begitu, pada musim tengkujuh iaitu di antara bulan Oktober hingga Disember atau Januari adalah waktu yang bahaya untuk mereka berhijrah. Jalan pengangkutan utama mereka adalah melalui air dan ketika musim ini, paras air sungai yang tinggi dan arusnya yang deras membahayakan nyawa mereka.

Tradisi Menyumpit Masih Kekal

Adalah menjadi tanggungjawab golongan lelaki untuk pergi memburu dan mencari hasil-hasil hutan. Setiap lelaki akan memiliki sumpit masing-masing. Ukiran pada sumpit mereka melambangkan kematangan dan kelayakan bagi seorang anak lelaki Batek yang meningkat dewasa. Malah, ia juga adalah tanda bahawa lelaki itu sudah layak untuk berkahwin.

Sumpit adalah senjata memburu mereka yang diperbuat daripada buluh yang panjangnya 2 meter. Pelurunya pula dipanggil damak dan diperbuat daripada lidi yang hujungnya diletakkan sedikit racun. Racun ini mampu membunuh binatang dalam masa 10 minit.

Tradisi Hidupkan Api Cara Lama

Kita sudah biasa masak menggunakan dapur gas atau dapur elektrik. Tetapi Orang Asli Batek ini masih kekal dengan cara lama untuk memasak makanan mereka. Anda pasti akan kagum dengan kehebatan mereka menghidupkan api sendiri yang diwarisi turun-temurun sejak dari zaman nenek moyang mereka lagi.

Mereka menggeserkan rotan dan daun meranti bersama sehingga api terhasil. Bahan yang digunakan sebagai bahan bakar adalah habuk kayu. Nampak seperti mudah kan? Namun, ia tidaklah semudah yang dilihat hingga anda cubanya sendiri.

Anda boleh rasakan pengalaman sebenar menyumpit dan cabaran menghidupkan api apabila anda datang ke perkampungan Orang Asli Batek ini di Taman Negara.

Tentang Gunung Tahan

Pemandangan Gunung Tahan dari Gunung Tangga Lima Belas
Sumber :
Wikipedia

Pencinta sukan mendaki bukit dan gunung pasti teringin untuk menawan puncak tertinggi di Semenanjung Malaysia, Gunung Tahan. Cabaran untuk mendakinya boleh tahan mencabar seperti namanya dimana anda memerlukan masa berhari-hari untuk sampai ke puncak. Malah, anda perlu melepasi cabaran merentasi hutan, meredah sungai, naik turun bukit dan bermalam di hutan. Oleh itu, pendakian gunung paling mencabar ini adalah sesuatu yang anda perlu buat persediaan secukupnya.

Walaupun puncak Gunung Tahan ini (2,187 meter) adalah lebih rendah dari gunung tertinggi di Malaysia iaitu Gunung Kinabalu (4,095 meter), cabaran pendakian Gunung Tahan ini adalah sesuatu yang luar biasa perbezaannya.

Info Gunung Tahan

A. Gunung keenam tertinggi di Malaysia.

B. Terletak di Banjaran Tahan.

C. Dipenuhi hutan yang tebal dengan pokok balak, lumut dan bonsai.

D. Keadaan dan struktur permukaan trek yang berbeza-beza. Ada jalan yang landai, berakar dengan curam sehingga 90 darjah, perlu meredah sungai, jalan yang berlumpur dan juga jalan yang penuh dengan batu-batu.

C. Cuaca yang tidak tetap. Adakala panas, adakala hujan, adakala berkabus, adakala ditemani guruh dan suhu boleh mencapai sehingga 8 darjah celcius jika di Kem Botak dan puncak.

D. Sehari hanya 48 orang pendaki sahaja dibenarkan naik dan memerlukan seorang juruhaluan bagi setiap 12 orang pendaki.

E. Terdapat dua jenis laluan pemula yang boleh dipilih iaitu laluan Kuala Tahan dan Merapoh/Sungai Relau.

F. Suhu di puncak akan lebih sejuk di antara Disember hingga Januari.

Sedikit Tip

Sememangnya tidak mustahil sekiranya anda memilih untuk mendaki Gunung Tahan ini secara berseorangan. Namun, jika dibandingkan kos yang anda perlu keluarkan, dengan tahap cabaran yang akan anda hadapi, mampu membuat anda rasa tidak berbaloi melainkan anda pergi secara berkumpulan.

Berikut adalah tip-tip persediaan sebelum mendaki Gunung Tahan:-

1. Pastikan anda telah melakukan latihan untuk menguatkan fizikal dan mental serta dapatkan stamina yang optimum.

2. Bawa barang yang perlu dan ringan seperti khemah yang diperbuat dari bahan yang ringan dan tahan lasak, baju yang tidak tebal tetapi mempunyai pengudaraan yang bagus, mudah kering dan sebagainya.

3. Bawa powerbank untuk anda caj telefon dan juga kamera.

4. Bawa pakaian yang boleh memanaskan badan anda di tempat yang sejuk.

5. Bawa ubat nyamuk, ubat anti pacat dan ubat-ubatan lain jika ada kecemasan berlaku.

6. Bawa beg perlindungan kalis air bagi melindungi alat elektronik anda.

3 Aktiviti Mencabar di Taman Negara

Hampir setiap hari kita berhadapan dengan keletihan dan kepenatan dari kehidupan yang sibuk di bandar. Apa kata sekali-sekala anda bawa keluarga atau rakan-rakan bercuti ke Taman Negara Pahang. Di sini, ia bagaikan spa alam semulajadi dimana energi anda disegarkan dengan terapi fizikal, emosi dan mental.

Taman Negara menyediakan pelbagai aktiviti mencabar yang menyeronokkan beserta kemudahan untuk para pengunjung yang ingin mendekati alam.

1. Melalui Titian Kanopi, Jambatan Terpanjang di Dunia

Panjangnya perjalanannya sejauh 550 meter. Manakala tingginya dari lantai hutan adalah 45 meter iaitu kira-kira setinggi bangunan 15 tingkat. Perjalanan untuk ke Titian Kanopi ini mengambil masa sekitar 30 hingga 40 minit dari Ibu Pejabat Taman Negara.

Sehari hanya 600 pengunjung sahaja dibenarkan untuk melalui titian kanopi ini atas faktor keselamatan. Setiap pengunjung yang melalui titian kanopi ini perlu mempunyai jarak 10 meter di antara satu sama lain. Anda berpeluang melihat monyet bergayutan di waktu pagi, Sungai Tembeling dan pemandangan hutan dari sudut yang lebih tinggi.

2. Mendaki Gunung Tertinggi Di Semenanjung Malaysia

Cabar diri anda untuk merentas hutan, meredah sungai, dan naik turun bukit selama berhari-hari demi mendaki dan menawan puncak Gunung Tahan iaitu gunung tertinggi di Semenanjung Malaysia ini. Terdapat dua laluan untuk anda akses perjalanan ke Gunung Tahan ini iaitu sama ada dari Merapoh atau Kuala Tahan.

Pastikan anda telah membuat persediaan secara fizikal dan mental bagi mengoptimumkan lagi aktiviti pendakian anda nanti. Pelbagai spesises flora dan fauna yang jarang dilihat menanti anda. Di akhir pendakian anda nanti juga akan dihidangkan keindahan Banjaran Tahan yang mempesonakan.

3. Bermalam di Gua

Apakah perasaan anda jika dapat bermalam di gua sambil ditemani penghuninya iaitu kelawar? Taman Negara mempunyai banyak gua-gua batu kapur yang sangat cantik dan masih terpelihara untuk para pengunjung menyaksikannya. Malah, para pengunjung berpeluang bermalam dan menikmati suasana malam di sini.

Selain Gua Daun Menari dan Gua Kepayang Kecil, lokasi yang biasa dijadikan tapak perkhemahan adalah Gua Kepayang Besar. Ruang yang sebesar namanya boleh memuatkan kira-kira 200 orang pengunjung. Jarak dari Kuala Terenggan ke Gua Kepayang Besar dan Gua Kepayang Kecil ini adalah 4 jam perjalanan atau kira-kira 7.5km.

What they said

Keterujaan Rapid Shooting di Taman Negara

Aktiviti yang paling wajib untuk semua pengunjung cuba ketika bercuti di Taman Negara pastilah aktiviti rapid shooting!

Rapid shooting ini adalah aktiviti lasak meredah tujuh jenis jeram yang berada di sepanjang Sungai Tembeling di Taman Negara dengan menaiki bot panjang tradisional. Antara jeram-jeram yang akan anda redahi adalah Jeram Abai, Jeram Nusa, Jeram Teras, Jeram Panjang dan banyak lagi.

Rapid Shooting @ National Park

Kebiasaannya aktiviti rapid shooting ini akan dilakukan di sebelah petang dimana anda dapat menghilangkan rasa penat setelah seharian melakukan aktiviti berjalan di dalam hutan, melalui titian kanopi dan juga mendaki Bukit Teresek. Perjalanan meredah tujuh jeram ini mengambil masa sekitar 45 minit hingga 1 jam.

Keseronokan aktiviti rapid shooting ini adalah di bahagian dimana anda akan sentiasa disimbahi air dari kiri dan kanan anda ketika bot sedang laju meredah melawan arus jeram-jeram ini. Kemeriahan suasana lagi bertambah apabila jurupandu bot anda saling berlumba dengan bot di sebelah. Bot yang sedang bergerak laju dan terumbang-ambing ke kiri dan ke kanan pasti akan membuatkan anda terjerit-jerit dan ketawa tidak berhenti.

Sebelum anda ke sini untuk melakukan aktiviti rapid shooting, pastikan anda membuat persiapan seperti berikut:-

1. Pakaikan telefon bimbit anda dengan sarung kalis air atau bawa kamera tahan lasak kalis air seperti GoPro.

2. Tidak perlu membawa banyak barang dan pakai beg galas yang kalis air juga.

3. Pakai pakaian yang memudahkan anda untuk bergerak dan bebas untuk sedia untuk dibasahi air sungai yang segar.

4. Tidak perlu memakai kasut sukan atau kasut yang berat dan menyerap air. Memadai memakai selipar atau sandal supaya mudah bergerak.

5. Bersedia untuk basah kuyup!

Bagi mendapatkan pengalaman dilambung gelombang air sungai dari tujuh jeram ini, anda perlu menyewa bot dengan harga RM2,300.00 bagi sebuah bot bersama maksimum 12 orang termasuk seorang jurupandu dan pembantunya.

Waktu yang lebih menyeronokkan untuk rapid shooting ini adalah ketika air sungai sedang pasang atau naik. Air sungai yang melambung bot anda pasti membuatkan anda ingin menjerit gembira sambil mendakap tiang bot ataupun berpaut di bahu kawan sebelah seeratnya!

Disinilah lokasi terakhir rapid shooting di perkampungan orang asli bateq negiretto

Jungle Trekking & Inner jungle in Pahang National Park

Pahang National Park has two different types of forest trekking, trekking to Bukit Teresek and trekking in the inner jungle.

National Park is one of the most exciting and best places for nature lovers who love trekking activities as it comprises a high-density tropical rainforest, rich in diverse natural treasures such as impressive flora and fauna.

Jungle Trekking

Jungle trekking can be relaxed by selecting the route to Bukit Teresek where it is 1.7 km from Wildlife Headquarters. To reach the summit of Bukit Teresek, it only takes 30 – 45 minutes to travel. When you are at this height of 334m, you will be presented with a panoramic view of Mount Tahan if the weather is in good condition. You will also be able to see the canopy rainforest in the splendid hills and valleys. If you find a boarding pass, it is the route that will take you to the Canopy walkway, which is one of the longest canopy walkway in the world.

Inner Jungle

Meanwhile, another more challenging jungle trekking route is the path leading to the inner jungle. Jungle trekking in this section requires a natural lover who has a high level of physical and mental strength. This is because the distance travelled for hours, through the natural path, goes downhill many times, runs through rivers and overnight in the jungle. Overnight stay in the jungle is either in the cave, in the roof or in the Orang Asli village.

Apart from Bukit Teresek, among the interesting destinations you can explore is Lata Berkoh, Chegar Dog, Kuala Terenggan, Bumbun Kumbang, and also Cave Kepayang Besar.

Throughout this jungle trekking and inner jungle activity, you have the opportunity to witness the true nature of the jungle such as clutches, giant trees that have existed hundreds of years in which the trunk is bigger than human beings, encounters unique mushrooms and fungi, peaceful forest birds, and feel the clear and cool river water is refreshing. Everything is beautifully kept in the world’s oldest forests.

Ikan Kelah Raja Si Air Tawar

Harga seekor ikan kelah di pasaran kini boleh mencecah sehingga RM200 hingga RM300 sekilo dan kira-kira RM1,000 seekor. Raja si air tawar ini adalah ikan yang sangat licik dan tangkas hinggakan ia sangat sukar ditawan oleh para pemancing. Selain itu, isi dagingnya yang mempunyai tekstur halus, rasanya yang lazat dan sisiknya yang boleh dimakan menjadikan ikan kelah sebagai buruan bagi pencinta sukan memancing ikan air tawar.

Di Malaysia, spesies ikan kelah merah banyak terdapat di Pahang, Terengganu dan Kelantan iaitu spesies Tor  tamroides. Tempat biasa ikan kelah belindung, diami dan berlegar adalah kawasan yang mempunyai dasar berbatu dan berkayu di sepanjang kawasan hilir sungai. Terdapat juga spesies yang memilih untuk mendiami kawasan yang lebih luas dan dalam.

Apabila tiba musim untuk ikan kelah mengawan, mereka akan berenang melawan arus sungai untuk bermigrasi menuju ke hulu sungai. Di sini terdapat kawasan yang mempunyai sungai-sungai kecil yang akan djadikan sebagai tempat ikan kelah melepaskan telur-telurnya.

Keistimewaan fizikal ikan kelah ini adalah bentuk badannya yang tirus memberikan lebih kemampuan untuk berenang melawan arus dan meredah jeram. Saiz ikan kelah betina yang matang adalah lebih besar dari kelah jantan. Makanan mereka adalah alga, ikan-ikan kecil, katak, serangga, buah-buahan dan bunga-bungaan yang gugur dari pepohon yang hidup di tepi sungai.

Di Taman Negara, ikan kelah adalah spesies yang dilindungi di Santuari Kelah bermakna pengunjung tidak dibenarkan memancing atau menangkap ikan ini. Di sini pengunjung dapat memberi makan, bermesra dengan ikan kelah ini. Makanan yang dibenarkan untuk diberi kepada ikan kelah ini hanyalah palet khas yang boleh dibeli di kedai yang terdapat disitu. Ini kerana makanan tersebut dibuat khas untuk memelihara kualiti ikan kelah disini.

Pada Mei 2018, Taman Negara Pahang telah membuat pengisytiharan bahawa aktiviti memancing telah dibenarkan bersama syarat-syarat dan peraturan iaitu hanya di lokasi Sungai Tahan.

Sisi Istimewa Orang Asli Batek

Jaguh Sungai

Orang Asli Batek atau bahasa pendidikannya, Bateq Nigerito yang menetap di hutan banyak bergerak melalui sungai. Pengangkutan utama mereka adalah menggunakan rakit ataupun bot gentian. Pergerakan melalui laluan air ini adalah untuk berpindah dari satu lokasi ke lokasi yang lain. Malah, ia juga turut menjadi alat permainan yang mengiburkan kanak-kanak Orang Asli Batek. Mereka membina rakit ini dengan menggunakan bahan dari hutan seperti buluh yang panjangnya lebih dari sepuluh kaki.

Selain dari rakit, bot gentian adalah pengangkutan yang mempunyai enjin bersamanya. Namun, kerana kos membeli, mengurus, menyelenggara, membaiki dan juga kos petrol yang agak tinggi, tidak ramai Orang Asli Batek yang mampu memilikinya. Kerana hal ini, rakit menjadi pilihan yang selesa dan mampu urus buat mereka.

Pemburu Tangkas

Sumber makanan utama Orang Asli Batek adalah melalui buruan sama ada dari sungai atau dari hutan. Antara haiwan yang diburu mereka adalah tupai, katak, monyet, ikan dan banyak lagi. Haiwan ini diburu dan dibunuh dengan menggunakan sumpit yang diperbuat daripada buluh. Mata damak yang dibahagian hujungnya yang tajam diletakkan racun, digunakan sebagai ‘peluru’ untuk membunuh haiwan buruan.

Kemahiran menyumpit ini dipelajari sejak dari umur kanak-kanak. Kanak-kanak Orang Asli Batek ini akan dilatih menyumpit bermula dengan mengikat perut mereka dengan rotan untuk melihat kekuatan mereka dalam menghembus mata damak keluar dari sumpit tersebut. Jika terputus rotan yang diikat itu, maka kanak-kanak tersebut telah layak untuk mengikut golongan dewasa pergi memburu.

Setiap kali mereka pergi memburu, mereka akan membawa penawar sumpit jika berlaku kemalangan terkena racun sumpit pada diri mereka.

Peneroka Sumber Alam

Selain aktiviti memburu, mereka juga meneroka mencari hasil tumbuhan seperti keladi liar, ubi-ubi, buah-buahan, kayu gaharu, buluh, rotan, damar, madu dan lain-lain. Menjadi tanggungjawan kaum lelaki Batek untuk ke pedalaman hutan bagi mencari hasil yang mempunyai nilai ekonomi. Manakala, kaum wanita Batek pula amat jarang berburu menggunakan sumpit kerana kebiasaannya mereka akan mencari makanan, herba, ubi dan ikan yang boleh segera dimakan.

Dekati Orang Asli Batek

Asal-usul Batek

“Batek” atau nama gelaran lain seperti Batik, Ngok dan Batek Herb (Orang Hutan), adalah suku bangsa Orang Asli. Majoriti kaum mereka kebanyakannya di Kelantan. Manakala sebahagian lagi di Pahang dan Terengganu yang telah bercampur dengan Orang Asli dari suku bangsa Semoq Beri.

Mereka ini berasal dari suku Negrito yang boleh dilihat dari ciri-ciri fizikal seperti berambut kerinting halus, berkulit hitam manis, serta bentuk wajah yang bulat dan lebar. Penghijrahan mereka ke Malaysia bermula sejak beribu-ribu tahun yang lampau iaitu dari Indo-China dengan berjalan kaki merentasi gunung-ganang. Mereka juga dipercayai mengakses jalan masuk ke kawasan pedalaman di Malaysia melalui Thailand.

Gaya Hidup Kaum Batek

Cara hidup suku kaum Orang Asli Batek ini agak ketinggalan berbanding dengan suku kaum Orang Asli Melayu Proto di mana mereka masih mengamalkan tradisi dan adat resam kaum mereka. Rumah pondok mereka masih menggunakan daun-daun hutan, buluh, dan berupa seperti bangsal. Terdapat lebih kurang 15 – 20 rumah pondok yang terdapat di dalam perkampungan mereka di Kampung Dedari, Pahang.

Kelangsungan hidup mereka bergantung kepada aktiviti memburu dan mengumpul hasil hutan. Keperluan ini membentuk pilihan mereka untuk hidup dekat dengan hutan yang bagaikan sebuah pasaraya buat mereka.

Amalan turun-temurun Orang Asli Batek ini adalah hidup secara nomad iaitu berpindah-randah. Walaupun begitu, mereka kini telah mula menetap di lokasi yang tertentu dengan membina rumah sendiri. Pada waktu-waktu tertentu, mereka tetap juga mempunyai rutin bergerak masuk ke dalam hutan atau di gigi-gigi sungai dan membina penempatan sementara untuk tujuan mengumpul hasil hutan. Segala hasil hutan ini akan menjadi sumber pendapatan mereka yang dijual di pasaran luar dan juga untuk kegunaan kehidupan harian mereka.

Amalan Agama Dalam Hidup

Suatu masa dahulu, Orang Asli Batek memiliki kepercayaan terhadap alam sekeliling atau semangat, roh dari hutan atau dikenali sebagai kepercayaan animisme. Kini, mereka telah mendapat pendedahan tentang kehidupan beragama dan semakin ramai yang memeluk agama Islam, Buddha dan sebagainya.