Melawat Lubuk Tenor Santuari Ikan Kelah

Inilah lokasi kegemaran ikan yang berharga iaitu ikan kelah dimana sekilo beratnya berharga  ratusan ringgit. Di sini, anda tidak dibenarkan untuk memancing dan menangkap ikan kelah ini kerana ia berada di dalam kawasan perlindungan oleh pihak Perhilitan.

Aktiviti yang anda boleh lakukan di sini bersama ahli keluarga dan rakan-rakan adalah bermandi-manda bersama mereka, memberi makan, melihat aksi mereka yang sepantas kilat dan lincah berenang ke sana ke mari. Saiz ikan kelah di sini sangat besar dan sihat-sihat belaka sehingga ada rasa geram melihatnya.

Anda boleh ke Lubuk Tenor ini dengan menaiki bot panjang dimana anda hanya perlu membayar RM160 dan boleh memuatkan sehingga 4 orang penumpang dan dua orang pengemudi.

Terdapat dua pilihan untuk bertolak ke Lubuk Tenor ini iaitu sama ada dari Jeti Kuala Tahan atau Jeti Mutiara Taman Negara di mana terletaknya tempat penginapan utama disini. Perjalanan menaiki bot panjang ini akan mengambil masa kira-kira 30 minit sahaja untuk ke Santuari Kelah.

Air yang tenang, jangan disangka tiada kelah. Begitulah gambaran apabila anda menjejakkan kaki di Lubuk Tenor ini dimana kawasan ini sungguh menenangkan. Disebalik air yang tenang ini, anda tidak akan menyangka tersembunyinya betapa banyaknya ikan kelah yang besar-besar dan gemuk-gemuk. Mana tidaknya, mereka sentiasa diberi makanan oleh pengunjung yang datang ke mari.

Walaupun kawasan ini dilarang memancing, jika anda dapat menangkap ikan kelah menggunakan tangan, anda boleh membawa pulang ikan kelah tersebut tanpa sebarang tindakan. Menarik bukan?

Masa inilah ramai pasti ingin mencuba menunjukkan kehebatan masing-masing. Siapa dapat bawa pulang kelah, dialah paling hebat! Namun, ia tidaklah semudah yang disangka. Ikan kelah ini adalah spesies ikan paling susah untuk ditangkap. Maka dengan itu, mungkin juga peribahasa “tuah ayam nampak dikaki” boleh ditukar kepada “tuah manusia nampak kelah ditangan” yang hanya boleh digunakan khas di Lubuk Tenor sahaja.

Lata Berkoh Lokasi Mandi-manda dan Berkelah Terbaik!

Lata Berkoh

Apabila anda memilih untuk bercuti ke Taman Negara Pagang ini, jangan lupa untuk masukkan Lata Berkoh di Sungai Tahan sebagai destinasi untuk anda bersama keluarga atau rakan-rakan berkelah dan mandi-manda sambil menikmati kehijauan alam dan ditemani unggas, lebah, dan fauna yang lain.

Dengan menaiki bot selama kira-kira 45 minit dari Jeti Taman Negara melalui sungai yang berbatu, anda disajikan dengan kecantikan dan keindahan panorama kehijauan hutan di kiri kanan anda sepanjang perjalanan. Dikatakan bahawa musim kering adalah waktu terbaik untuk anda ke Lata Berkoh ini kerana keindahannya yang lebih memukau jiwa dan sangat berbaloi. Harga sewa sebuah bot hanya RM250 untuk 4 orang penumpang yang dikemudi oleh seorang jurumudi dan seorang pembantu.

Anda hanya perlu membayar RM1 untuk mendapatkan permit masuk ke Lata Berkoh dan tambahan RM5 jika anda membawa kamera yang mana anda mesti bawa untuk merakam gambar yang berharga. Anda mungkin akan berpengalaman untuk menolak bot di beberapa kawasan yang cetek. Sesampainya anda di pinggir sungai, anda masih perlu trekking kira-kira 5km lagi ke atas untuk sampai ke lokasi Lata Berkoh.

Pastikan anda membawa segala keperluan seperti makanan, minuman, baju persalinan untuk berkelah dan mandi-manda disini sepuas-puasnya. Airnya yang sejuk, jernih sehingga jelas kelihatan batu dan pasir di dasarnya serta sangat menyegarkan pasti akan membuat anda ‘ketagih’ untuk berendam lama-lama dan mandi berulang kali diselangi dengan menikmati makanan dan minuman yang dibawa.

Berkelah di tepi sungai sambil mandi-manda sambil ditemani kehijauan di Lata Berkoh ini pasti menjadi pengalaman yang menyegarkan emosi dan tubuh badan.

Di Lata Berkoh kawasannya sangat luas dan mempunyai air terjun di bahagian yang menghala ke bahagian yang lebih dalam Sungai Tahan. Terdapat juga santuari ikan kelah yang mana anda berpeluang untuk mandi-manda sambil bermain berkejaran dengan ikan kelah yang besar-besar saiznya.

Menurut pengalaman pengunjung ke sini, memadai jika anda memakai kasut sandal untuk memudahkan perjalanan memandangkan ianya selamat untuk tujuan ke Lata Berkoh ini.

Istimewanya Eksplorasi Hutan di Taman Negara Pahang

Eksplorasi Hutan

Taman Negara Pahang mempunyai dua jenis trekking hutan yang berbeza iaitu trekking ke Bukit Teresek dan juga trekking di pedalaman hutan yang jauh lebih mencabar.

Taman Negara adalah antara tempat yang paling menarik dan terbaik bagi pencinta alam yang gemarkan aktiviti trekking. Ini kerana ia terdiri daripada hutan hujan tropika yang berketumpatan tinggi, kaya dengan pelbagai khazanah alam seperti flora dan fauna yang mengagumkan.

Trekking secara santai boleh dilakukan dengan memilih laluan ke Bukit Teresek dimana jaraknya adalah 1.7km dari Ibu Pejabat Hidupan Liar. Untuk sampai ke puncak Bukit Teresek, hanya memerlukan 30 – 45 minit perjalanan.

Apabila anda berada di puncak berketinggian 334m ini, anda akan dipersembahkan dengan panorama Gunung Tahan yang sangat cantik jika cuaca dalam keadaan baik. Anda juga akan dapat melihat hutan hujan kanopi di celah-celah bukit dan lembah yang sangat tersergam indah. Jika anda menjumpai laluan berpapan, itu adalah laluan yang akan membawa anda ke Titian Kanopi iaitu antara jambatan tergantung terpanjang di dunia.

Manakala, sebuah lagi laluan trekking yang lebih mencabar adalah laluan yang menuju ke pedalaman hutan. Trekking di bahagian ini memerlukan pencinta alam yang mempunyai kekuatan fizikal dan ketahanan mental yang tinggi. Ini kerana, jarak perjalanan yang mengambil masa berjam-jam, melalui laluan semulajadi, naik turun bukit berkali-kali, meredah melintasi sungai-sungai dan juga bermalam di hutan. Lokasi bermalam di hutan yang boleh dipilih adalah sama ada di gua, di bumbun atau di kampung Orang Asli.

Selain dari Bukit Teresek, antara pilihan destinasi yang menarik boleh anda terokai adalah Lata Berkoh, Chegar Anjing, Kuala Terenggan, Bumbun Kumbang, dan juga Gua Kepayang Besar.

Sepanjang aktiviti trekking ini, anda berpeluang untuk menyaksikan suasana di dalam hutan yang sebenar. Anda dapat mendengar bunyi-bunyi cengkerik, melihat pepohon gergasi yang sudah wujud beratus-ratus tahun di mana batangnya lebih besar dari sepemeluk manusia. Malah, anda dapat bertemu dengan cendawan dan kulat yang unik, mendengar kicauan burung-burung hutan yang mendamaikan, serta dibasahi air sungai yang jernih dan sejuk menyegarkan. Semuanya tersimpan indah di dalam hutan tertua di dunia ini.

Keistimewaan Taman Negara, national park Malaysia juga diceritakan di thecrazytourist.

Keunikan Perkampungan Orang Asli Batek

Orang Asli Batek

Alami keunikan kehidupan Orang Asli suku kaum Batek di Jeram Dedari. Di dalam kawasan Taman Negara di mana hutan adalah ‘pasar makanan’ bagi mereka. Siapa sangka, di kala kebanyakan golongan Orang Asli di Malaysia yang semakin membenarkan arus pemodenan hadir ke dalam kehidupan seharian mereka, suku kaum Batek ini masih kekal dengan adat dan tradisi lama mereka.

Rumah iaitu pondok kecil mereka yang diperbuat daripada daun langkap dan rotan yang dijadikan atap dan dinding. Pakaian mereka dijadikan ‘kain langsir’ dan ‘pintu’ untuk menutup ruang-ruang terbuka di rumah mereka. Bagi mereka, inilah cara hidup yang selesa dan ‘syurga’ buat mereka. Walaupun bagi kita ia adalah gaya hidup yang primitif, penuh kekurangan, tiada kemudahan asas yang selesa.

Ada kira-kira 10-15 keluarga suku Batek yang tinggal di Kampung Orang Asli Dedari ini. Ianya merupakan penempatan terbesar mereka yang terletak berhampiran Sungai Tembeling. Apabila anda berkunjung ke sini selepas menaiki bot dari Kuala Tahan, anda akan disambut dengan mesra oleh sekumpulan kanak-kanak. Manakala, kaum wanita mereka pula kebanyakannya sangat pemalu. Oleh itu, jika ada yang tidak berlari menyorok, anda dikira bernasib baik dapat bertemu mereka.

Kemudian, mereka akan menunjukkan pelbagai demonstrasi aktiviti kemahiran hidup kaum Batek seperti menghidupkan api menggunakan rotan dan kayu meranti, cara membuat sumpit dan menyumpit, membuat kraftangan dan sebagainya.

Kelangsungan hidup mereka sebahagiannya bergantung kepada memburu haiwan iaitu melalui menyumpit dengan menggunakan mata damak. Mereka menjadikan tupai, kera, monyet dan burung sebagai sumber makanan. Di sini, anda akan berpeluang merasai pengalaman menggunakan sumpit yang akan diajar oleh pemandu pelancong mereka. Komunikasi anda bersama mereka akan diterjemahkan oleh wakil Tok Batin mereka dimana hanya beliau sahaja yang mahir berbahasa Melayu.

Kaum Batek ini hidupnya nomad iaitu sering berpindah-randah apabila hasil hutan sudah semakin kurang. Tetapi, mereka tidak akan berpindah ketika musim tengkujuh berlangsung iaitu dari Oktober sehingga Januari. Ini kerana, mereka bergerak melalui pengangkutan air. Jalan air ketika musim ini adalah bahaya untuk mereka.

Anda akan terpaut dengan gaya hidup mereka, kebersihan kawasan perkampungan dan tradisi mereka serta kebaikan dan kemesraan mereka sepanjang berada disitu. Sorakan “Oo elah! Oo elah!” dari mereka yang juga bermaksud “Selamat pulang! Selamat pulang!” pasti akan terngiang-ngiang saat anda dalam perjalanan pulang meninggalkan kampung mereka.

Mendaki Gunung Tahan, Gunung Tertinggi di Semenanjung Malaysia

Gunung Tahan

Adakah anda seorang yang sukakan cabaran dari alam? Pernahkah anda membayangkan diri anda mendaki gunung yang tertinggi di Semenanjung Malaysia dan merupakan salah satu gunung yang sangat mencabar untuk didaki?

Ya! Gunung yang mempunyai puncak berketinggian 2,187m dari aras laut ini berada sejauh 32km dari Kuala Juram, Sungai Relau dan Merapoh serta 53km dari Kampung Kuala Tahan. Anda perlu naik dan turun bukit-bukit, meredah sungai, merentas hutan yang jaraknya sangat jauh serta bermalam di dalam khemah selama beberapa malam untuk menakluki puncak tertinggi di Semenanjung Malaysia ini.

Cabaran untuk menakluki gunung keenam tertinggi di seluruh Malaysia ini memerlukan anda untuk mempunyai ketahanan fizikal dan mental yang kuat. Jika tidak, anda perlu melalui latihan ketahanan fizikal dan mental yang secukupnya sebagai persediaan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

Bayangkan diri anda berjaya sampai di puncak di mana anda bakal terpesona dengan keindahan Banjaran Tahan yang terbentang luas saujana mata memandang dan perjalanan anda dihiasi oleh deretan pepohon bonsai. Untuk ke Gunung Tahan ini anda boleh memilih sama ada untuk bertolak dari Kuala Tahan atau Merapoh.

Pelbagai spesies flora dan fauna menanti untuk menyambut kedatangan anda seperti pepohon gergasi, kulat dan cendawan yang sangat jarang dapat dilihat serta berpengalaman merentasi empat sungai yang airnya sejuk dan jernih hingga anda boleh melihat ikan-ikan berenang bermain di celah-celah batu, dan air terjun yang mempesonakan.

Tambahan lagi, kawasan Gunung Tahan ini sememangnya dipelihara baik oleh pihak pengurusan TamanNegara  kerana setiap pendaki wajib melakukan pengisytiharan barang-barang yang akan dibawa semasa mendaki. Ini kerana, setiap barang yang dibawa pergi harus dibawa pulang bersama kecuali sisa-sisa makanan yang boleh terhapus. Langkah ini diwujudkan demi memelihara keindahan dan keaslian Gunung Tahan supaya kekal sepanjang zaman.

Adalah penting untuk anda pastikan barang-barang di dalam beg anda dibalut dengan plastik dan diikat kemas-kemas kerana perjalanan di sungai bersama batu-batu yang licin ini mungkin akan membuatkan anda tergelincir ditambah dengan bebanan beg yang berat membuatkan langkah anda tidak seimbang.

Memerhati Burung di Taman Negara Kuala Tahan

Aktiviti rekreasi yang santai dan mesra alam yang anda boleh masukkan di dalam senarai aktiviti sepanjang anda berada di Taman Negara ini adalah aktiviti memerhati burung-burung liar. Taman Negara Kuala Tahan yang cukup terkenal dengan keunikannya sebagai hutan hujan tropika yang sudah berusia lebih dari 130 juta tahun ini, menjadi ‘kediaman’ kepada kira-kira 380 spesies burung liar yang terdapat di Malaysia dan setiap dari mereka adalah unik dari segi warna bulu, saiz dan susuk tubuh yang bervariasi.

Selepas Bukit Fraser, Taman Negara Kuala Tahan ini adalah ‘Syurga’ kedua pemerhati burung liar yang diwujudkan sebagai salah satu usaha untuk mengembangkan lagi industri eko pelancongan di negeri Pahang. Dalam situasi penerokaan hutan yang sedang rakus di Malaysia kini dimana ia banyak menjejaskan ekosistem flora dan fauna, Taman Negara mengambil inisiatif untuk menjadikan flora dan fauna sebagai produk utama dalam industri eko pelancongan ini.

Terdapat 479 spesies burung telah dikenal pasti hidup di Taman Negara ini termasuklah tujuh daripadanya adalah spesies burung yang datang dari luar negara antaranya Bangau Kendi, (Cattle Egrets) Berek-berek Tadah Hujan (Blue-throated Bee-eater) dan juga Lang Baza (Black Baza). Burung-burung yang berasal dari negara beriklim sejuk ini dikatakan dalam perjalanan ke Selatan dan singgah di sini ketika bulan September hingga Disember sebelum pulang semula ke negara asal untuk bertelur.

Bulan Mei sehingga Ogos dikatakan sebagai waktu terbaik untuk anda datang dan memerhati burung di sini dan  anda dapat menemukan spesies burung yang tertentu di kawasan-kawasan yang tertentu. Selain itu, pencinta burung juga pasti akan teruja untuk melihat 19 spesies burung terancam yang hidup di sekitar Taman Negara ini.

Dikatakan bahawa burung-burung liar ini agak sensitif dengan kehadiran manusia terutamanya bunyi bising dari langkah tapak kaki dan suara manusia. Akhir sekali, pasti anda akan terngiang-ngiang dan rindukan siulan burung liar yang sangat mendamaikan jiwa dan menyegarkan semangat sepanjang anda berada disini.

Lata Berkoh, Sungai Tahan dan Sungai Tembeling

Lata Berkoh

Apabila anda menyusuri sepanjang Sungai Tahan anda akan terpesona dengan keunikan pepohon neram yang tumbuh membentuk pintu gerbang yang tersergam indah di sepanjang sungai di mana dahan-dahan dan batangnya ditumbuhi dan dilitupi dengan tumbuhan paku-pakis dan juga orkid hutan yang cantik. Sungai ini mengalir dari gunung tertinggi di Semenanjung Malaysia iaitu Gunung Tahan.

Selain dari aktiviti berkhemah dan mandi-manda di sungai, anda juga berpeluang untuk mencuba aktiviti menangkap ikan di Sungai Tahan ini kerana ia terdapat banyak lubuk-lubuk ikan di sepanjang Sungai Tahan yang agak panjang ini dimana ia menjadi rumah kepada pelbagai spesies ikan seperti Kelah Sungai, Kelah Merah, Sebarau, Baung, Tengas, Lampam Sungai, Toman dan banyak lagi. Disinilah terletaknya lokasi Lata Berkoh yang mempersonakan. 

Sungai Tahan sebelum ini tidak dibenarkan untuk melakukan aktiviti menangkap ikan mahupun memancing. Namun, bermula 16 Mei 2018, pihak Perhilitan telah membuka peluang dan beri kebenaran yang bersyarat untuk aktiviti menangkap ikan bagi faktor menggalakkan eko-pelancongan.

Antara syarat-syaratnya adalah aktiviti memancing hanya dibuka setiap hari Rabu dan Khamis bermula dari 9.00 pagi sehinga 5.00 petang sahaja. Bagi mengetahui lebih lanjut tentang syarat-syarat penuh untuk memancing di Sungai Tahan ini, boleh dirujuk kepada pihak Perhilitan.

Selain itu, keistimewaan Sungai Tembeling pula, ia bertemu dengan tiga anak sungai iaitu Sungai Keniam yang mengalir ke arah timur, Sungai Terenggan yang juga mengalir ke arah timur dan akhir sekali dengan Sungai Tahan di Kuala Tahan.

Suasana Sungai Tembeling ini agak sibuk sebagai ‘jalan raya’ kepada para penduduk di sekitar Sungai Tembeling. Dengan itu anda akan lihat banyak bot yang lalu-lalang di sungai ini dan ia juga telah lama popular dan meriah dengan aktiviti menangkap ikan dan memancing. Syarat untuk aktiviti memancing tidak seketat di Sungai Tahan di mana anda boleh teruskan aktiviti memancing sehingga malam dan surat kebenaran memancing sah sehingga sebulan.

Di sini anda dapat menikmati keindahan mahligai alam yang tersergam indah dengan kehijauan, udara yang segar, bunyian hutan yang menenangkan dan air sungai yang jernih dan bersih untuk dilakar menjadi memori abadi.

Eksplorasi Gua Batu Kapur

Gua Batu Kapur

Malaysia masih lagi memiliki hutan dan gua batu kapur yang masih dipelihara dengan baik. Kawasan hutan batu kapur di Taman Negara ini memiliki gua-gua yang indah dan cantik seperti Gua Kepayang Kecil, Gua Kepayang Besar, Gua Daun Menari, Gua Telinga, Gua Luas dan banyak lagi.

Antara gua-gua yang sering dikunjungi pencinta alam adalah Gua Kepayang Besar dan Gua Kepayang Kecil di mana lokasinya yang tersorok jauh di dalam hutan dan berada di antara Kuala Terenggan (bukan Kuala Terengganu ya) dan Kuala Keniam.

Gua Kepayang Besar adalah gua yang terbesar dan mempunyai pembentukan batu kapur paling menarik. Pintu masuknya adalah dari aras tanah di mana kawasan tersebut mempunyai ruang yang besar untuk anda bergerak di sekitarnya. Jika anda bernasib baik, anda dapat melihat kesan tapak kaki gajah dan juga hasil kumbahan mereka disitu.

Ruangnya sememangnya sangat besar di bahagian timur singkapan iaitu kawasan batuan yang melunjur ke permukaan tanah. Ruang dalamnya kelihatan bagaikan istana batu kapur di dalam hutan dengan silingnya yang tinggi bagaikan mahligai tiga tingkat. Gua Kepayang Besar ini boleh menempatkan lebih 10 kumpulan pengunjung iaitu dalam 200 orang.

Sementara ruang yang lebih kecil iaitu Gua Kepayang Kecil pula berada di bahagian akhir singkapan di sebelah barat. Ia menjadi lokasi menarik untuk anda berkhemah di antara arus sungai dan gua. Jarak Gua Kepayang Kecil dan Gua Kepayang Besar ini dari Kuala Terenggan adalah sekitar 7.5km dan anda akan mengambil masa kira-kira 4 jam berjalan kaki untuk sampai ke destinasi.

Lokasi lain yang juga menarik dan sesuai untuk berkhemah adalah Gua Daun Menari di mana ia menjadi rumah  kepada ribuan ekor kelawar daun di dalamnya. Jaraknya untuk ke gua ini adalah dalam sekitar 4km atau 2 jam berjalan kaki dari Kuala Keniam.

Keunikan Gua Telinga pula adalah kerana keindahan pembentukan batunya seakan-akan bentuk telinga manusia yang akan anda abadikan di dalam memori sampai bila-bila. Lokasinya terletak kira-kira 2.6km dari Ibu Pejabat Hidupan Liar.

Untuk ke gua-gua ini, adalah wajib untuk anda datang bersama pemandu pelancong demi keselamatan anda. Terima kasih buat pihak Taman Negara atas usaha dan dedikasi mereka dalam menjaga dan memelihara gua-gua batu kapur ini sebaik-baiknya. Kerana usaha mereka juga, kita dan generasi akan datang masih dapat menyaksikan keindahan ciptaan Tuhan sebagai arkitek alam yang Maha Hebat.

Cetuskan Adrenalin Anda Di Jambatan Gantung Terpanjang Di Dunia!

Titian Kanopi Jambatan Gantung

Perasaan gayat yang mencetus adrenalin sambil menghayati keindahan flora dan fauna dapat dirasai apabila anda menjejakkan kaki ke Titian Kanopi atau Canopy Walk Taman Negara Pahang ini. Jabatan gantung Titian Kanopi ini diperbuat daripada tangga aluminium yang diikat dengan tali. Kedudukannya berada di sekitar 45 meter tinggi dari lantai hutan dan jarak perjalanan sejauh kira-kira 550 meter menjadikannya jambatan gantung terpanjang di dunia. Menarik bukan?

Anda hanya perlu berjalan sekitar 30-40 minit untuk ke Titian Kanopi dari ibu pejabat Taman Negara. Perjalanan untuk meniti jambatan gantung Titian Kanopi ini mengambil masa kira-kira 20 minit dengan jarak 10 meter di antara seorang individu dengan individu yang lain sebagai langkah keselamatan. Untuk pengetahuan anda, Titian Kanopi in hanya terhad kepada 600 orang pengunjung sahaja sehari atas faktor keselamatan.

Waktu yang terbaik adalah apabila anda dapat masuk ke hutan pada waktu pagi di mana anda berpeluang untuk melihat monyet daun berbulu kelabu dan juga monyet daun bermata putih permata saling bergayutan dari pohon ke pohon.

Manakala, dari titian ini, anda dapat mendaki menuju dua lokasi viewpoint di Bukit Terasik di mana pamandangan panorama pertamanya anda dapat melihat persekitaran hutan dan Sungai Tembeling yang mengalir sejak berabad lamanya tanpa henti.

Manakala sudut pemandangan kedua pula menghadap gunung tertinggi di Semenanjung Malaysia iaitu Gunung Tahan.

Waktu operasi Titian Kanopi ini adalah bermula dari jam 9 pagi (setiap hari kecuali Khamis), sehingga jam 3 petang (kecuali hari Jumaat tutup pada jam 12 tengahari). Tiket pula boleh didapati dengan harga RM5 bagi dewasa dan RM3 bagi kanak-kanak.

Jika cuaca mula berangin atau pun hujan, Titian Kanopi ini akan ditutup atas tujuan keselamatan. Jadi, sekiranya anda merancang untuk ke Titian Kanopi ini, pastikan anda periksa ramalan cuaca terlebih dahulu bagi mengelakkan dilanda kekecewaan dan penyesalan.

Untuk makluman, Titian Kanopi ini ditutup untuk sementara waktu bagi tujuan penyelengaraan bermula dari 15 Disember 2018. Ianya telah mula dibuka bermula tahun 2020. Jom lihat review pengunjung yang telah melaksanakan aktiviti disini di page tripadvisor.

‘Mengintai’ Haiwan Liar Dari Bumbun di Taman Negara Pahang

Bumbun Taman Negara

Jika anda seorang yang sukakan cabaran alam yang berbeza, anda pasti menginginkan pengalaman untuk melihat pelbagai jenis penghuni liar hutan dari pelbagai spesies. Taman Negara Pahang memiliki kemudahan yang sangat menarik untuk anda merebut peluang melihat mereka dari jarak yang sangat memuaskan hati terutamanya pada waktu malam.

Kemudahan yang berupa enam buah bumbun di Taman Negara, dibina untuk anda menawarkan pengalaman ‘mengintai’ haiwan liar seperti rusa sambar, kijang, seladang, babi hutan, tapir, landak, cicak hutan, harimau, harimau kumbang, lembu liar, gajah dan lain-lain serta aktiviti mereka.

Antara aktiviti haiwan liar ini adalah, mendapatkan garam mineral dengan menjilatnya di jenut atau nama Inggerisnya dikenali sebagai “salt lick” iaitu tempat dimana haiwan liar singgah untuk mendapatkan zat garam mineral.

Tiada jaminan bahawa anda dapat ‘menangkap’ mereka dalam pemerhatian anda di sepanjang keberadaan anda di bumbun-bumbun ini walaupun ia terletak menghadap jenut ini (kecuali Bumbun Tahan). Namun, suasana dan bunyi-bunyian dalam hutan pasti melakarkan pengalaman yang tidak akan dapat anda lupakan sampai bila-bila.

Jika anda ingin bermalam disini, bumbun-bumbun yang berbentuk seperti pondok konkrit ini menyediakan kemudahan yang sangat asas seperti kemudahan mencuci dan bilik air (kecuali Bumbun Tahan). Namun, kemudahan elektrik tidak disediakan. Oleh itu, anda perlu membawa lampu suluh anda, powerbank, bateri secukupnya. Di samping itu, jangan lupa untuk membawa bekalan makanan dan minuman secukupnya, beg tidur, baju hujan, topi, stokin anti pacat dan losyen anti nyamuk.

Bumbun yang boleh memuatkan enam hingga lapan orang ini dibina dengan ketinggian yang selamat bagi melindungi anda dari ancaman haiwan liar di waktu malam. Tempahan haruslah dibuat di Pejabat Jabatan Hidupan Liar di dalam resort bersama bayaran serendah RM5 seorang bergantung kepada jenis bumbun yang anda pilih.

Peluang bermalam sambil menanti kehadiran haiwan liar yang tidak dapat dilihat di bandar-bandar, adalah pengalaman yang pasti anda mahu nikmati sekurang-kurangnya sekali seumur hidup!

Akhir sekali, sebagai penjaga khazanah alam bumi ini, bawalah pulang sampah anda sebelum pulang sebagai langkah memelihara alam sekitar demi kelangsungan nikmat indah bagi generasi akan datang.