Tentang Gunung Tahan

Pemandangan Gunung Tahan dari Gunung Tangga Lima Belas
Sumber :
Wikipedia

Pencinta sukan mendaki bukit dan gunung pasti teringin untuk menawan puncak tertinggi di Semenanjung Malaysia, Gunung Tahan. Cabaran untuk mendakinya boleh tahan mencabar seperti namanya dimana anda memerlukan masa berhari-hari untuk sampai ke puncak. Malah, anda perlu melepasi cabaran merentasi hutan, meredah sungai, naik turun bukit dan bermalam di hutan. Oleh itu, pendakian gunung paling mencabar ini adalah sesuatu yang anda perlu buat persediaan secukupnya.

Walaupun puncak Gunung Tahan ini (2,187 meter) adalah lebih rendah dari gunung tertinggi di Malaysia iaitu Gunung Kinabalu (4,095 meter), cabaran pendakian Gunung Tahan ini adalah sesuatu yang luar biasa perbezaannya.

Info Gunung Tahan

A. Gunung keenam tertinggi di Malaysia.

B. Terletak di Banjaran Tahan.

C. Dipenuhi hutan yang tebal dengan pokok balak, lumut dan bonsai.

D. Keadaan dan struktur permukaan trek yang berbeza-beza. Ada jalan yang landai, berakar dengan curam sehingga 90 darjah, perlu meredah sungai, jalan yang berlumpur dan juga jalan yang penuh dengan batu-batu.

C. Cuaca yang tidak tetap. Adakala panas, adakala hujan, adakala berkabus, adakala ditemani guruh dan suhu boleh mencapai sehingga 8 darjah celcius jika di Kem Botak dan puncak.

D. Sehari hanya 48 orang pendaki sahaja dibenarkan naik dan memerlukan seorang juruhaluan bagi setiap 12 orang pendaki.

E. Terdapat dua jenis laluan pemula yang boleh dipilih iaitu laluan Kuala Tahan dan Merapoh/Sungai Relau.

F. Suhu di puncak akan lebih sejuk di antara Disember hingga Januari.

Sedikit Tip

Sememangnya tidak mustahil sekiranya anda memilih untuk mendaki Gunung Tahan ini secara berseorangan. Namun, jika dibandingkan kos yang anda perlu keluarkan, dengan tahap cabaran yang akan anda hadapi, mampu membuat anda rasa tidak berbaloi melainkan anda pergi secara berkumpulan.

Berikut adalah tip-tip persediaan sebelum mendaki Gunung Tahan:-

1. Pastikan anda telah melakukan latihan untuk menguatkan fizikal dan mental serta dapatkan stamina yang optimum.

2. Bawa barang yang perlu dan ringan seperti khemah yang diperbuat dari bahan yang ringan dan tahan lasak, baju yang tidak tebal tetapi mempunyai pengudaraan yang bagus, mudah kering dan sebagainya.

3. Bawa powerbank untuk anda caj telefon dan juga kamera.

4. Bawa pakaian yang boleh memanaskan badan anda di tempat yang sejuk.

5. Bawa ubat nyamuk, ubat anti pacat dan ubat-ubatan lain jika ada kecemasan berlaku.

6. Bawa beg perlindungan kalis air bagi melindungi alat elektronik anda.

Mendaki Gunung Tahan, Gunung Tertinggi di Semenanjung Malaysia

Gunung Tahan

Adakah anda seorang yang sukakan cabaran dari alam? Pernahkah anda membayangkan diri anda mendaki gunung yang tertinggi di Semenanjung Malaysia dan merupakan salah satu gunung yang sangat mencabar untuk didaki?

Ya! Gunung yang mempunyai puncak berketinggian 2,187m dari aras laut ini berada sejauh 32km dari Kuala Juram, Sungai Relau dan Merapoh serta 53km dari Kampung Kuala Tahan. Anda perlu naik dan turun bukit-bukit, meredah sungai, merentas hutan yang jaraknya sangat jauh serta bermalam di dalam khemah selama beberapa malam untuk menakluki puncak tertinggi di Semenanjung Malaysia ini.

Cabaran untuk menakluki gunung keenam tertinggi di seluruh Malaysia ini memerlukan anda untuk mempunyai ketahanan fizikal dan mental yang kuat. Jika tidak, anda perlu melalui latihan ketahanan fizikal dan mental yang secukupnya sebagai persediaan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

Bayangkan diri anda berjaya sampai di puncak di mana anda bakal terpesona dengan keindahan Banjaran Tahan yang terbentang luas saujana mata memandang dan perjalanan anda dihiasi oleh deretan pepohon bonsai. Untuk ke Gunung Tahan ini anda boleh memilih sama ada untuk bertolak dari Kuala Tahan atau Merapoh.

Pelbagai spesies flora dan fauna menanti untuk menyambut kedatangan anda seperti pepohon gergasi, kulat dan cendawan yang sangat jarang dapat dilihat serta berpengalaman merentasi empat sungai yang airnya sejuk dan jernih hingga anda boleh melihat ikan-ikan berenang bermain di celah-celah batu, dan air terjun yang mempesonakan.

Tambahan lagi, kawasan Gunung Tahan ini sememangnya dipelihara baik oleh pihak pengurusan TamanNegara  kerana setiap pendaki wajib melakukan pengisytiharan barang-barang yang akan dibawa semasa mendaki. Ini kerana, setiap barang yang dibawa pergi harus dibawa pulang bersama kecuali sisa-sisa makanan yang boleh terhapus. Langkah ini diwujudkan demi memelihara keindahan dan keaslian Gunung Tahan supaya kekal sepanjang zaman.

Adalah penting untuk anda pastikan barang-barang di dalam beg anda dibalut dengan plastik dan diikat kemas-kemas kerana perjalanan di sungai bersama batu-batu yang licin ini mungkin akan membuatkan anda tergelincir ditambah dengan bebanan beg yang berat membuatkan langkah anda tidak seimbang.