Tentang Gunung Tahan

Pemandangan Gunung Tahan dari Gunung Tangga Lima Belas
Sumber :
Wikipedia

Pencinta sukan mendaki bukit dan gunung pasti teringin untuk menawan puncak tertinggi di Semenanjung Malaysia, Gunung Tahan. Cabaran untuk mendakinya boleh tahan mencabar seperti namanya dimana anda memerlukan masa berhari-hari untuk sampai ke puncak. Malah, anda perlu melepasi cabaran merentasi hutan, meredah sungai, naik turun bukit dan bermalam di hutan. Oleh itu, pendakian gunung paling mencabar ini adalah sesuatu yang anda perlu buat persediaan secukupnya.

Walaupun puncak Gunung Tahan ini (2,187 meter) adalah lebih rendah dari gunung tertinggi di Malaysia iaitu Gunung Kinabalu (4,095 meter), cabaran pendakian Gunung Tahan ini adalah sesuatu yang luar biasa perbezaannya.

Info Gunung Tahan

A. Gunung keenam tertinggi di Malaysia.

B. Terletak di Banjaran Tahan.

C. Dipenuhi hutan yang tebal dengan pokok balak, lumut dan bonsai.

D. Keadaan dan struktur permukaan trek yang berbeza-beza. Ada jalan yang landai, berakar dengan curam sehingga 90 darjah, perlu meredah sungai, jalan yang berlumpur dan juga jalan yang penuh dengan batu-batu.

C. Cuaca yang tidak tetap. Adakala panas, adakala hujan, adakala berkabus, adakala ditemani guruh dan suhu boleh mencapai sehingga 8 darjah celcius jika di Kem Botak dan puncak.

D. Sehari hanya 48 orang pendaki sahaja dibenarkan naik dan memerlukan seorang juruhaluan bagi setiap 12 orang pendaki.

E. Terdapat dua jenis laluan pemula yang boleh dipilih iaitu laluan Kuala Tahan dan Merapoh/Sungai Relau.

F. Suhu di puncak akan lebih sejuk di antara Disember hingga Januari.

Sedikit Tip

Sememangnya tidak mustahil sekiranya anda memilih untuk mendaki Gunung Tahan ini secara berseorangan. Namun, jika dibandingkan kos yang anda perlu keluarkan, dengan tahap cabaran yang akan anda hadapi, mampu membuat anda rasa tidak berbaloi melainkan anda pergi secara berkumpulan.

Berikut adalah tip-tip persediaan sebelum mendaki Gunung Tahan:-

1. Pastikan anda telah melakukan latihan untuk menguatkan fizikal dan mental serta dapatkan stamina yang optimum.

2. Bawa barang yang perlu dan ringan seperti khemah yang diperbuat dari bahan yang ringan dan tahan lasak, baju yang tidak tebal tetapi mempunyai pengudaraan yang bagus, mudah kering dan sebagainya.

3. Bawa powerbank untuk anda caj telefon dan juga kamera.

4. Bawa pakaian yang boleh memanaskan badan anda di tempat yang sejuk.

5. Bawa ubat nyamuk, ubat anti pacat dan ubat-ubatan lain jika ada kecemasan berlaku.

6. Bawa beg perlindungan kalis air bagi melindungi alat elektronik anda.

Ikan Kelah Raja Si Air Tawar

Harga seekor ikan kelah di pasaran kini boleh mencecah sehingga RM200 hingga RM300 sekilo dan kira-kira RM1,000 seekor. Raja si air tawar ini adalah ikan yang sangat licik dan tangkas hinggakan ia sangat sukar ditawan oleh para pemancing. Selain itu, isi dagingnya yang mempunyai tekstur halus, rasanya yang lazat dan sisiknya yang boleh dimakan menjadikan ikan kelah sebagai buruan bagi pencinta sukan memancing ikan air tawar.

Di Malaysia, spesies ikan kelah merah banyak terdapat di Pahang, Terengganu dan Kelantan iaitu spesies Tor  tamroides. Tempat biasa ikan kelah belindung, diami dan berlegar adalah kawasan yang mempunyai dasar berbatu dan berkayu di sepanjang kawasan hilir sungai. Terdapat juga spesies yang memilih untuk mendiami kawasan yang lebih luas dan dalam.

Apabila tiba musim untuk ikan kelah mengawan, mereka akan berenang melawan arus sungai untuk bermigrasi menuju ke hulu sungai. Di sini terdapat kawasan yang mempunyai sungai-sungai kecil yang akan djadikan sebagai tempat ikan kelah melepaskan telur-telurnya.

Keistimewaan fizikal ikan kelah ini adalah bentuk badannya yang tirus memberikan lebih kemampuan untuk berenang melawan arus dan meredah jeram. Saiz ikan kelah betina yang matang adalah lebih besar dari kelah jantan. Makanan mereka adalah alga, ikan-ikan kecil, katak, serangga, buah-buahan dan bunga-bungaan yang gugur dari pepohon yang hidup di tepi sungai.

Di Taman Negara, ikan kelah adalah spesies yang dilindungi di Santuari Kelah bermakna pengunjung tidak dibenarkan memancing atau menangkap ikan ini. Di sini pengunjung dapat memberi makan, bermesra dengan ikan kelah ini. Makanan yang dibenarkan untuk diberi kepada ikan kelah ini hanyalah palet khas yang boleh dibeli di kedai yang terdapat disitu. Ini kerana makanan tersebut dibuat khas untuk memelihara kualiti ikan kelah disini.

Pada Mei 2018, Taman Negara Pahang telah membuat pengisytiharan bahawa aktiviti memancing telah dibenarkan bersama syarat-syarat dan peraturan iaitu hanya di lokasi Sungai Tahan.

Memerhati Burung di Taman Negara Kuala Tahan

Aktiviti rekreasi yang santai dan mesra alam yang anda boleh masukkan di dalam senarai aktiviti sepanjang anda berada di Taman Negara ini adalah aktiviti memerhati burung-burung liar. Taman Negara Kuala Tahan yang cukup terkenal dengan keunikannya sebagai hutan hujan tropika yang sudah berusia lebih dari 130 juta tahun ini, menjadi ‘kediaman’ kepada kira-kira 380 spesies burung liar yang terdapat di Malaysia dan setiap dari mereka adalah unik dari segi warna bulu, saiz dan susuk tubuh yang bervariasi.

Selepas Bukit Fraser, Taman Negara Kuala Tahan ini adalah ‘Syurga’ kedua pemerhati burung liar yang diwujudkan sebagai salah satu usaha untuk mengembangkan lagi industri eko pelancongan di negeri Pahang. Dalam situasi penerokaan hutan yang sedang rakus di Malaysia kini dimana ia banyak menjejaskan ekosistem flora dan fauna, Taman Negara mengambil inisiatif untuk menjadikan flora dan fauna sebagai produk utama dalam industri eko pelancongan ini.

Terdapat 479 spesies burung telah dikenal pasti hidup di Taman Negara ini termasuklah tujuh daripadanya adalah spesies burung yang datang dari luar negara antaranya Bangau Kendi, (Cattle Egrets) Berek-berek Tadah Hujan (Blue-throated Bee-eater) dan juga Lang Baza (Black Baza). Burung-burung yang berasal dari negara beriklim sejuk ini dikatakan dalam perjalanan ke Selatan dan singgah di sini ketika bulan September hingga Disember sebelum pulang semula ke negara asal untuk bertelur.

Bulan Mei sehingga Ogos dikatakan sebagai waktu terbaik untuk anda datang dan memerhati burung di sini dan  anda dapat menemukan spesies burung yang tertentu di kawasan-kawasan yang tertentu. Selain itu, pencinta burung juga pasti akan teruja untuk melihat 19 spesies burung terancam yang hidup di sekitar Taman Negara ini.

Dikatakan bahawa burung-burung liar ini agak sensitif dengan kehadiran manusia terutamanya bunyi bising dari langkah tapak kaki dan suara manusia. Akhir sekali, pasti anda akan terngiang-ngiang dan rindukan siulan burung liar yang sangat mendamaikan jiwa dan menyegarkan semangat sepanjang anda berada disini.

Keistimewaan Aktiviti Memancing di Sungai Keniam

Sungai Keniam

Bak kata kaki-kaki pancing yang pernah memancing di lokasi hangat Sungai Keniam ini, jika anda dapat menangkap ikan Kelah, lagi-lagi spesies Kelah Merah, bererti anda seorang pemancing yang hebat!

Eh kenapa pula kan?

Ini kerana ikan Kelah adalah ikan yang sangat sensitif dengan kawasan persekitaran atau boleh dikatakan ikan yang bijak sehinggakan bayang anda pun dapat dikesan dan tidak akan dihampiri oleh ikan Kelah ini. Bukan mudah untuk anda menggoda ikan Kelah ini untuk dijerat oleh umpan anda kerana terdapat banyak pantang-larang yang  perlu anda patuhi.  Umpannya pula bukan sebarangan. Biasanya para pemancing menggunakan umpan dari sawit peram.

Kerana itu, setiap kaki pancing pasti ingin mencabar diri sendiri untuk ke Sungai Keniam ini demi memenuhi hasrat untuk menangkap ikan Kelah Merah yang tinggi nilainya ini dan juga dilindungi oleh Taman Negara Pahang. Kerana itu, jika anda ingin memancing disini, anda perlu mendapatkan dua jenis lesen iaitu Lesen Memasuki Taman Negara dan juga Lesen Memancing.

Di Sungai Keniam ini juga terdapat spesies ikan yang lain seperti Patin, Baung, Toman, Tapah, Krai, Tenggalan, Lampam, Gohok dan banyak lagi. Antara tip yang dikongsikan dari kaki pancing yang pernah ke sini adalah mencari lubuk yang terdapat biawak. Kerana mengikut hukum alam, biawak sebagai pemangsa akan mencari mangsanya (ikan). Lebih besar saiz biawak, lebih cerah peluang untuk anda mendapat jumlah tangkapan yang anda harapkan. InsyaAllah.

Di sepanjang Sungai Keniam terdapat banyak lubuk-lubuk yang popular iaitu Petai, Rawa, Panjang, Lata Said, Perkai, Rincing, Batu Terubung dan lubuk-lubuk kecil yang lain.

Perjalanan ke Sungai Keniam yang melalui Sungai Tembeling yang deras arusnya mengambil masa kira-kira 2 jam melalui bot.

Di samping itu, Kuala Perkai pula adalah sebuah lokasi pilihan yang popular untuk pengunjung berkhemah dan boleh memalui jalan darat jika anda seorang yang kental untuk merentas hutan yang jauhnya kira-kira 28km dari Kuala Tahan. Anda mempunyai pilihan sama ada ingin mendirikan khemah sendiri atau bermalam di Kuala Perkai Fishing Lodge yang disediakan.