Artical, National Park ( Taman Negara Kuala Tahan )

8 Tip Pancing Ikan Kelah

Ikan Kelah bagaikan raja air tawar. Aktiviti memancing di Sungai Tahan, Taman Negara Pahang mula dibenarkan sejak Mei 2018. Setiap minggu, hanya hari Rabu dan Khamis sahaja aktiviti memancing ini dibuka kepada kaki pancing bersama syarat-syarat tertentu. Kawasan yang dibenarkan untuk memancing bermula dari Kuala Tahan sehingga Jeram Bahala, Sungai Tahan.

Antara target utama kaki pancing dalam aktiviti memancing ini adalah untuk mendaratkan raja si air tawar yang lasak, liar dan licik ini. Ikan kelah ini menjadi idaman para pemancing kerana ia umpama suatu kepuasan emas jika sesiapa berjaya menawannya.

Selain dari isinya yang sedap, sisiknya yang boleh dimakan, harganya boleh mencecah RM250 hingga RM300 sekilo. Bermakna, seekor ikan kelah mampu mencecah harga RM1,000 dan ke atas.

Ikan ini juga bijak dalam pengamatannnya terhadap persekitaran sekeliling. Mereka juga sangat sensitif dengan kehadiran manusia. Oleh itu, untuk menawan raja air tawar ini, kami kongsikan beberapa tip asas yang anda boleh praktikkan ketika anda memancing di Sungai Tahan ini.

Tip-tip Pancing Ikan Kelah

1. Jika anda datang dalam jumlah yang ramai, pastikan anda duduk tidak lebih dari 3 orang bagi setiap lubuk yang dipilih.

2. Minimumkan pergerakan dan jika ingin berbual, berbisik lebih memadai.

3. Pastikan persekitaran sangat senyap dari suara-suara manusia.

4. Gunakan umpan yang diperbuat daripada sawit yang dimasak atau yang diperam. Sawit peram ini dihasilkan dengan merendamnya di dalam air selama 2 minggu sehingga ia mengeluarkan bau dan sedikit berminyak. Umpan ini bertujuan untuk menarik ikan kelah ke arah pancing anda.

5. Sawit masak pula digunakan dengan cara menghirisnya dan diletakkan dicangkukkan pada mata kail. Anda juga boleh mencangkukkan sebiji sawit ini dan dicangkukkan pada 2 atau 3 mata kail.

6. Peralatan memancing anda perlulah sesuai untuk menewaskan ikan kelah apabila umpan dimakan. Ini kerana, ikan kelah sangat tangkas melepaskan diri.

7. Elakkan memakai baju berwarna terang.

8. Elakkan berendam kaki atau mandi kerana mereka sensitif dengan kehadiran manusia.

Aktiviti memancing di sini hanya dibuka dari jam 9.00 pagi sehingga 5.00 petang sahaja.

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *