Uncategorized

3 Aktiviti Bersama Keluarga Di Taman Negara

Musim cuti sekolah adalah yang paling dinanti-nantikan oleh para ibu bapa untuk meluangkan masa yang berkualiti bersama anak-anak tersayang. Di samping itu, dapat juga merehatkan minda dan tubuh badan dari kepenatan bekerja di pejabat.

Pastinya, para ibu bapa tercari-cari aktiviti dan lokasi yang bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga sesuai untuk seisi keluarga dari semua segi. Jika anda mencari aktiviti yang menyediakan aktiviti dan cabaran yang dikelilingi dengan kehijauan alam Taman Negara adalah pilihan terbaik.

Berkelah dan Mandi-manda di Lata Berkoh

Bayangkan anda berada sebuah kawasan yang tenang, meriah dengan bunyi cengkerik dan unggas. Di situ anda dan keluarga berdiri menghadap air terjun, di mana airnya sejuk, jernih sehingga anda dapat melihat dengan jelas dasarnya yang dipenuhi batu dan pasir.

Kawasan lapang yang luas sesuai untuk anda hamparkan kain petak merah putih anda, bersama bekalan makanan dan minuman yang enak, berkelah bersama anak-anak sebelum mereka terjun masuk ke dalam sungai. Hanya dengan membayar permit sebanyak RM1 dan RM5 untuk kamera, anda dapat ke Lata Berkoh ini dengan menaiki bot yang disewa dengan harga RM250 untuk 4 orang penumpang.

Anda akan disajikan dengan pemandangan penuh kehijauan sepanjang 45 minit perjalanan dari Jeti Taman Negara. Jika anda bernasib baik, anda sekeluarga dapat bertemu dengan burung-burung atau haiwan darat dan air.

Melawat Perkampungan Orang Asli

Melawati perkampungan penduduk asal yang telah menghuni Malaysia sejak beribu tahun yang lalu, kaum Batek. Aktivti ini dapat memberi pendedahan yang baru kepada keluarga anda untuk belajar mengenali adat dan tradisi serta cara hidup kaum yang berbeza dari kita. Dari segi cara bersosial, cara berpakaian malah cara melangsungkan hidup juga dapat dipelajari di sini.

Kaum Batek ini adalah kaum yang hidup nomad iaitu berpindah-randah di sekitar Taman Negara. Kaum wanita mereka pula tersangat pemalu dengan orang luar. Di sini, anda sekeluarga berpeluang menikmati pengalaman menghidupkan api sendiri, belajar menyumpit, membuat kraftangan dari hutan, dan banyak lagi.

Rapid Shooting

Ini adalah aktiviti yang paling menyeronokkan sebelum anda sampai ke perkampungan Orang Asli Batek. Selain dari selamat untuk seisi keluarga, anda akan merasakan pengalaman menaiki bot tradisional dengan kepantasannya membuatkan anda disimbahi air dari kiri dan kanan.

Pakai pakaian yang sesuai serta tidak perlu bawa banyak barang. Perjalanan selama 45 minit hingga 1 jam ini, akan membawa anda meredah arus 7 jenis jeram sungai Tembeling.

Bersedia untuk menjerit sepuas-puasnya!

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *